19. Seorang askar lain disuruh pergi, dan dia menanyakan hal yang sama kepada Raja Yehu. Sekali lagi Raja Yehu menjawab, “Itu bukan urusanmu! Ikutlah di belakang beta.”
20. Sekali lagi pengawal itu melaporkan bahawa askar itu telah sampai kepada kumpulan orang itu, tetapi dia tidak kembali. Katanya lagi, “Pemimpin rombongan itu memandu kereta kudanya seperti orang gila, seolah-olah dia itu Yehu!”
21. Raja Yoram bertitah, “Siapkanlah kereta kuda beta.” Setelah kereta kudanya siap, baginda dan Raja Ahazia berangkat dengan kereta kuda masing-masing untuk menemui Raja Yehu. Mereka bertemu dengan Raja Yehu di ladang bekas milik Nabot.
22. Raja Yoram bertanya kepada Raja Yehu, “Adakah kamu datang sebagai sahabat?”Raja Yehu bertitah, “Mana mungkin sebagai sahabat selama di sini masih berlaku di sini ilmu sihir dan penyembahan berhala yang dimulakan oleh Izebel, bonda raja itu?”
23. “Pengkhianatan!” seru Raja Yoram kepada Raja Ahazia, sambil membelokkan kereta kudanya lalu melarikan diri dari situ.
24. Tetapi Raja Yehu mengambil busurnya, dan dengan sekuat tenaga baginda memanah Raja Yoram dari belakang. Anak panah itu menusuk jantung Raja Yoram, lalu baginda jatuh dan mangkat di dalam kereta kudanya.
25. Raja Yehu bertitah kepada Bidkar, ajutannya, “Ambillah jenazahnya dan buangkan di tanah milik Nabot. Ingatlah bahawa ketika kamu dan beta menunggang kuda di belakang Raja Ahab, ayahanda Raja Yoram dahulu, TUHAN pernah berfirman demikian untuk menentang Raja Ahab,
26. ‘Semalam Aku nampak pembunuhan Nabot dan anak-anaknya. Sekarang Aku berjanji bahawa Aku akan menghukum engkau di sini, di tanah ini juga.’ Oleh itu ambillah jenazah Raja Yoram, dan buangkan ke tanah bekas milik Nabot, supaya terlaksana hukuman Allah kepadanya.”
27. Raja Ahazia nampak apa yang telah berlaku. Oleh itu baginda melarikan diri dengan kereta kudanya ke arah kota Bet-Hagan. Raja Yehu mengejar Raja Ahazia. “Bunuhlah raja itu juga!” perintah Raja Yehu kepada anak buahnya. Mereka memanah Raja Ahazia sedang baginda melarikan diri dengan kereta kudanya dalam perjalanan ke Gur, dekat kota Yibleam. Tetapi Raja Ahazia berjaya lari sampai ke Megido lalu mangkat di sana.
28. Pegawai-pegawai Raja Ahazia membawa jenazahnya kembali ke Yerusalem dengan sebuah kereta kuda lalu memakamkannya di perkuburan diraja di Kota Daud.
29. Raja Ahazia menjadi raja Yehuda pada tahun kesebelas pemerintahan Raja Yoram putera Raja Ahab di Israel.
30. Kemudian Raja Yehu tiba di Yizreel. Apabila Izebel mendengar apa yang telah berlaku, dia mencelaki kelopak matanya, menghias rambutnya, lalu melihat ke bawah dari jendela istana.
31. Apabila Raja Yehu lalu di pintu gerbang, Izebel berteriak, “Hai Zimri, pembunuh! Mengapa engkau ke mari?”
32. Raja Yehu melihat ke atas lalu bertitah, “Adakah sesiapa yang memihak beta?” Ada dua atau tiga orang pegawai istana melihat ke bawah dari sebuah jendela.
33. Lalu Raja Yehu bertitah kepada mereka, “Lemparlah perempuan itu ke bawah!” Mereka pun melemparkan Izebel ke bawah sehingga darahnya terpercik ke tembok dan kepada beberapa ekor kuda di situ. Raja Yehu menggelek jenazah Izebel dengan kuda dan kereta kudanya,
34. lalu masuk ke istana dan makan. Setelah itu Raja Yehu bertitah, “Perempuan itu jahanam. Meskipun begitu, kebumikanlah jenazahnya kerana dia puteri raja.”