2 Raja-Raja 5:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Naaman ialah panglima tentera negeri Siria. Dia sangat dihormati dan dihargai oleh raja Siria, kerana melalui Naaman, TUHAN telah memberikan kemenangan kepada angkatan perang Siria. Naaman seorang panglima yang perkasa, tetapi dia menghidap penyakit kulit yang sangat mengerikan.

2. Pada suatu masa, orang Siria menyerang negeri Israel. Dalam serangan itu seorang budak perempuan Israel ditangkap, lalu dibawa pergi sebagai orang tawanan. Kemudian budak perempuan itu menjadi hamba kepada isteri Naaman.

3. Pada suatu hari budak itu berkata kepada isteri Naaman, “Alangkah baiknya jika tuan saya dapat pergi kepada nabi yang tinggal di Samaria! Dia dapat menyembuhkan penyakit tuan saya.”

4. Apabila Naaman mendengar hal itu, dia menghadap raja dan memberitahukan apa yang dikatakan budak perempuan itu.

5. Raja Siria bertitah, “Pergilah kepada raja Israel, dan bawalah surat ini kepadanya.”Kemudian Naaman berangkat sambil membawa 30,000 keping perak, 6,000 keping emas dan sepuluh pasang pakaian yang baik.

6. Surat yang dibawanya itu berbunyi demikian, “Pembawa surat ini ialah Naaman, panglima beta. Tolong sembuhkan penyakitnya.”

7. Apabila raja Israel membaca surat itu, baginda mengoyakkan pakaiannya kerana dukacita. Titahnya, “Mana boleh raja Siria meminta beta menyembuhkan orang ini? Adakah baginda berpendapat bahawa beta ini Allah yang mempunyai kuasa untuk menghidupkan dan mematikan orang? Tentu baginda mencari-cari sebab untuk bertengkar dengan beta!”

8. Apabila Nabi Elisa mendengar apa yang telah berlaku, dia mengirim berita kepada raja. Katanya, “Mengapakah tuanku risau? Suruhlah orang itu datang kepada hamba. Hamba akan menunjukkan kepadanya bahawa ada seorang nabi di Israel!”

9. Oleh itu Naaman berangkat dengan kereta kuda dan semua kudanya, lalu berhenti di pintu rumah Elisa.

10. Elisa menyuruh seorang hamba keluar untuk memberitahu Naaman supaya mandi tujuh kali di Sungai Yordan, maka penyakitnya akan sembuh.

11. Tetapi Naaman marah ketika mendengar kata-kata itu lalu meninggalkan tempat itu. Katanya, “Sangkaku sekurang-kurangnya dia akan keluar menemui aku, berdoa kepada TUHAN, Allahnya, lalu menggerak-gerakkan tangannya di atas bahagian tubuhku yang sakit, serta menyembuhkan aku.

12. Selain itu, bukankah Sungai Abana dan Sungai Parpar di Damsyik lebih baik daripada sungai mana pun di Israel? Aku pun boleh mandi di sungai-sungai itu dan menjadi sembuh!”

13. Tetapi hamba-hamba Naaman berkata kepadanya, “Tuan, jika nabi itu menyuruh tuan melakukan perkara yang susah, tentu tuan akan melakukannya. Sebaiknya tuan mandi seperti yang disuruhnya supaya sembuh.”

2 Raja-Raja 5