2 Raja-Raja 4:31-39 Alkitab Berita Baik (BM)

31. Gehazi berjalan dahulu. Dia meletakkan tongkat Elisa pada tubuh budak itu, tetapi tidak terdengar apa-apa dan tidak ada tanda-tanda bahawa budak itu hidup. Dia kembali menemui Elisa dan berkata, “Budak itu tidak bangun.”

32. Apabila Elisa tiba, dia masuk seorang diri ke dalam bilik itu. Dia nampak jenazah budak itu terbaring di atas tempat tidur.

33. Elisa menutup pintu lalu berdoa kepada TUHAN.

34. Dia meniarap pada tubuh budak itu dan merapatkan mulutnya, matanya, dan tangannya pada mulut, mata, dan tangan budak itu. Sementara Elisa berbuat demikian, badan budak itu mulai hangat.

35. Elisa bangun, dan berjalan mundar-mandir di dalam bilik itu, lalu meniarap sekali lagi pada tubuh budak itu. Budak itu bersin tujuh kali lalu membuka matanya.

36. Elisa menyuruh Gehazi memanggil ibu budak itu. Apabila dia masuk, Elisa berkata kepadanya, “Ini anak puan.”

37. Perempuan itu bersujud di hadapan Elisa lalu membawa anaknya keluar.

38. Pada suatu masa, ketika kebuluran berlaku di seluruh negeri itu, Elisa pulang ke Gilgal. Sementara dia mengajar sekumpulan nabi, dia menyuruh hambanya memasak makanan di dalam sebuah periuk yang besar bagi mereka.

39. Seorang daripada mereka keluar untuk mencari sayur, lalu menjumpai tanaman labu liar. Dia memetik seberapa banyak buah labu yang dapat diangkatnya, lalu membawanya pulang. Dia memotong-motong buah itu lalu memasukkannya ke dalam periuk tanpa mengetahui apa sebenarnya buah itu.

2 Raja-Raja 4