2. Elisa bertanya, “Apakah yang dapat saya lakukan? Barang apa yang ada di rumah puan?”“Tidak ada apa-apa,” jawab balu itu, “kecuali minyak zaitun di dalam sebuah bejana kecil.”
3. Elisa berkata, “Pergilah kepada jiran-jiran puan dan pinjamlah seberapa banyak bejana kosong yang ada.
4. Selepas itu puan dan anak-anak puan harus masuk ke dalam rumah dan menutup pintu. Lalu tuanglah minyak dari bejana kecil itu ke dalam bejana-bejana lain. Kumpulkanlah bejana yang telah penuh.”
5. Kemudian balu itu pulang dan masuk ke dalam rumah bersama dengan anak-anaknya, lalu menutup pintu. Dia mengambil minyak zaitun di dalam bejana kecil itu dan menuangnya ke dalam bejana-bejana yang lain sebaik sahaja anak-anaknya membawa bejana itu kepadanya.
6. Apabila mereka telah memenuhkan semua bejana itu, dia bertanya, “Masih ada lagi?” Salah seorang anaknya menjawab, “Tiada lagi.” Ketika itu juga minyak itu berhenti mengalir.
7. Kemudian balu itu balik kepada Nabi Elisa. Lalu Elisa berkata kepadanya, “Juallah minyak zaitun itu dan bayarlah semua hutang puan, dan wang selebihnya untuk nafkah hidup sehari-hari bagi puan dan anak-anak puan.”
8. Pada suatu hari Elisa pergi ke kota Sunem. Di sana ada seorang perempuan kaya. Perempuan itu menjemput Elisa makan di rumahnya. Sejak itu tiap-tiap kali Elisa pergi ke Sunem, dia makan di rumah perempuan kaya itu.
9. Perempuan itu berkata kepada suaminya, “Aku yakin bahawa orang yang selalu datang ke mari itu sungguh-sungguh hamba Allah.
10. Marilah kita bina sebuah bilik kecil di atas bumbung rumah, dan melengkapinya dengan sebuah tempat tidur, sebuah meja, sebuah kerusi dan sebuah pelita supaya dia dapat menginap di situ manakala dia datang ke mari.”
11. Pada suatu hari, Elisa pergi ke Sunem lalu masuk ke biliknya untuk berehat.
12. Dia menyuruh Gehazi, hambanya pergi memanggil perempuan itu. Apabila perempuan itu datang,
13. Elisa berkata kepada Gehazi, “Tanyalah dia apa yang dapat saya lakukan baginya. Dia telah bersusah-payah menyediakan keperluan kita. Mungkin dia mahu saya mengatakan sesuatu bagi kepentingannya di hadapan raja ataupun panglima tentera.”Perempuan itu menjawab, “Saya tinggal di kalangan kaum keluarga saya sendiri dan tidak kekurangan apa-apa pun.”
14. Elisa berkata kepada Gehazi, “Jika demikian, apakah yang dapat saya lakukan baginya?”Gehazi menjawab, “Dia tidak mempunyai anak lelaki. Lagi pula suaminya sudah tua.”
15. Elisa berkata, “Suruhlah perempuan itu datang ke mari.” Perempuan itu datang dan berdiri di pintu.
16. Elisa berkata kepadanya, “Pada masa seperti ini tahun hadapan, puan akan mendukung seorang anak lelaki.”Perempuan itu berkata, “Tuan, janganlah tuan berdusta kepada saya. Tuan adalah hamba Allah!”
17. Tetapi sebagaimana yang dikatakan Elisa, kira-kira pada masa yang sama tahun berikutnya, perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki.
18. Beberapa tahun kemudian, pada musim menuai, anak itu pergi ke ladang hendak mengikut bapanya yang sedang berada di situ dengan para penuai.
19. Tiba-tiba anak itu berkata kepada bapanya, “Kepala saya sakit! Kepala saya sakit!”Bapanya berkata kepada salah seorang hambanya, “Bawalah dia kepada ibunya.”