9. Demikianlah Raja Yoram bersama-sama raja Yehuda dan raja Edom keluar berperang. Setelah tujuh hari perjalanan, mereka kehabisan air minum, sehingga tentera mereka dan binatang pengangkut barang-barang mereka kehausan.
10. “Malanglah kita,” seru Raja Yoram, “kerana TUHAN telah merancang untuk menyerahkan kita bertiga kepada raja Moab!”
11. Raja Yosafat bertanya, “Adakah seorang nabi di sini, supaya kita dapat minta petunjuk daripada TUHAN?”Seorang pegawai tentera Raja Yoram menjawab, “Elisa anak Safat berada di sini. Dia bekas pembantu Elia.”
12. Raja Yosafat berkata, “Betul! TUHAN memang berfirman melalui dia.” Lalu tiga orang raja itu pergi kepada Elisa.
13. Elisa berkata kepada raja Israel, “Mengapa hamba harus menolong tuanku? Pergilah bertanya kepada nabi-nabi ayahanda dan bonda tuanku dahulu!”“Tidak,” jawab Raja Yoram. “Kerana TUHAN telah merancang untuk menyerahkan kami bertiga kepada raja Moab.”
14. Elisa berkata, “Hamba bersumpah demi TUHAN yang hidup, bahawa jika bukan kerana hamba menghormati Raja Yosafat dari Yehuda, hamba tidak akan menolong tuanku.
15. Sekarang panggillah seorang pemain kecapi.”Sementara pemain kecapi itu memainkan kecapinya, kuasa TUHAN meliputi Elisa,
16. lalu dia berkata, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Galilah beberapa parit di dasar anak sungai yang kering ini.
17. Walaupun tidak ada hujan atau angin, dasar sungai kecil ini akan penuh dengan air. Lalu engkau serta ternakan dan binatang pengangkut barang-barangmu akan mendapat cukup air minum.’ ”
18. Elisa meneruskan lagi, “Perkara ini mudah bagi TUHAN. Dia juga akan memberi tuanku kemenangan terhadap orang Moab.
19. Tuanku akan mengalahkan semua kota mereka yang berkubu dan yang indah. Tuanku akan menebang semua pokok buah-buahan mereka, menutup semua mata air dan semua ladang mereka yang subur akan dilempari batu sampai rosak sama sekali.”
20. Esok paginya, pada masa korban pagi biasa dipersembahkan, air mengalir dari arah Edom lalu memenuhi dasar sungai yang kering itu.
21. Apabila orang Moab mendengar bahawa tiga orang raja itu telah tiba untuk menyerang mereka, semua kaum lelaki yang sanggup berperang, daripada yang paling tua sampai kepada yang paling muda, dipanggil dan ditempatkan di sempadan negeri.
22. Apabila mereka bangun esok paginya, matahari menyinari permukaan air sehingga kelihatan merah seperti darah.
23. “Lihatlah, darah!” seru mereka. “Ketiga-tiga pasukan tentera musuh kita tentu telah berlawan dan membunuh satu sama lain! Marilah kita pergi menjarah perkhemahan mereka!”