5. Tetapi tentera Babilonia mengejar Raja Zedekia dan menangkap baginda di dataran dekat Yerikho. Pada masa itu segenap tentera Raja Zedekia meninggalkan baginda.
6. Raja Zedekia dibawa kepada Raja Nebukadnezar, yang ketika itu berada di Ribla. Di sana Raja Nebukadnezar menjatuhkan hukuman kepada Raja Zedekia.
7. Putera-putera Zedekia dibunuh di depan mata baginda. Selepas itu mata baginda dicungkil. Kemudian Raja Zedekia dirantai lalu dibawa ke Babel.
8. Pada hari ketujuh, bulan kelima, tahun kesembilan belas pemerintahan Raja Nebukadnezar dari Babilonia, Nebuzaradan, iaitu panglima tentera dan penasihat raja, masuk ke Yerusalem.
9. Nebuzaradan membakar Rumah TUHAN, istana, dan rumah orang terkemuka di Yerusalem.
10. Askar-askarnya merobohkan tembok kota.
11. Selepas itu Nebuzaradan membawa penduduk yang masih tinggal di kota itu ke Babilonia, iaitu tukang-tukang mahir yang masih tinggal dan orang yang berpihak kepada orang Babilonia.
12. Tetapi Nebuzaradan meninggalkan sebahagian daripada rakyat yang paling miskin di Yehuda, mereka yang tidak mempunyai harta. Dia menyuruh mereka bekerja di ladang anggur dan di ladang-ladang.
13. Orang Babilonia menghancurkan tiang-tiang gangsa, tangki gangsa, dan semua pedati yang ada di Rumah TUHAN. Mereka membawa semua gangsanya ke Babel.
14. Mereka juga membawa penyodok-penyodok dan bekas-bekas abu yang digunakan untuk membersihkan mazbah, alat-alat pelita, mangkuk-mangkuk untuk menampung darah binatang yang dikorbankan, mangkuk-mangkuk untuk membakar kemenyan, dan semua alat gangsa lain yang digunakan untuk upacara ibadat di Rumah TUHAN.
15. Mereka mengambil semua alat yang dibuat daripada emas dan perak, termasuk mangkuk-mangkuk kecil, dan perbaraan.
16. Barang-barang gangsa yang dibuat oleh Raja Salomo, iaitu dua batang tiang, semua pedati, dan tangki yang besar, terlalu berat untuk ditimbang.
17. Dua batang tiang itu sama bentuknya: setiap batang tingginya 8 meter, dengan kepala tiang setinggi 1.3 meter. Pada sekeliling kepala tiang itu ada anyaman gangsa yang dihiasi buah delima daripada gangsa.