2 Raja-Raja 25:12-29 Alkitab Berita Baik (BM)

12. Tetapi Nebuzaradan meninggalkan sebahagian daripada rakyat yang paling miskin di Yehuda, mereka yang tidak mempunyai harta. Dia menyuruh mereka bekerja di ladang anggur dan di ladang-ladang.

13. Orang Babilonia menghancurkan tiang-tiang gangsa, tangki gangsa, dan semua pedati yang ada di Rumah TUHAN. Mereka membawa semua gangsanya ke Babel.

14. Mereka juga membawa penyodok-penyodok dan bekas-bekas abu yang digunakan untuk membersihkan mazbah, alat-alat pelita, mangkuk-mangkuk untuk menampung darah binatang yang dikorbankan, mangkuk-mangkuk untuk membakar kemenyan, dan semua alat gangsa lain yang digunakan untuk upacara ibadat di Rumah TUHAN.

15. Mereka mengambil semua alat yang dibuat daripada emas dan perak, termasuk mangkuk-mangkuk kecil, dan perbaraan.

16. Barang-barang gangsa yang dibuat oleh Raja Salomo, iaitu dua batang tiang, semua pedati, dan tangki yang besar, terlalu berat untuk ditimbang.

17. Dua batang tiang itu sama bentuknya: setiap batang tingginya 8 meter, dengan kepala tiang setinggi 1.3 meter. Pada sekeliling kepala tiang itu ada anyaman gangsa yang dihiasi buah delima daripada gangsa.

18. Selain itu, Nebuzaradan, iaitu panglima tentera, menangkap Imam Agung Seraya dan penolongnya, iaitu Imam Sefanya, dan juga tiga orang pegawai tinggi Rumah TUHAN.

19. Dari kota itu Nebuzaradan menangkap seorang panglima tentera, lima orang penasihat peribadi raja yang masih di kota itu, pembantu panglima yang mengurus pentadbiran tentera, dan enam puluh orang pembesar lain.

20. Nebuzaradan membawa mereka kepada raja Babilonia, yang ketika itu berada di Ribla

21. di wilayah Hamat. Di sana mereka diseksa dan kemudian dihukum mati.Demikianlah penduduk Yehuda ditawan dari tanah mereka lalu dibuang negeri.

22. Raja Nebukadnezar dari Babilonia melantik Gedalya anak Ahikam, iaitu cucu Safan, menjadi gabenor negeri Yehuda. Dia memerintah atas semua orang yang tidak dibawa ke Babilonia.

23. Apabila para pegawai tentera dan askar Yehuda yang belum menyerah kepada orang Babilonia mendengar hal itu, mereka bergabung dengan Gedalya di Mizpa. Para pegawai itu ialah Ismael anak Netanya, Yohanan anak Kareah, Seraya anak Tanhumet dari kota Netofa, dan Yazanya dari Maakha.

24. Gedalya berkata kepada mereka, “Jangan takut kepada para pegawai Babilonia. Tinggallah di negeri ini dan abdikan diri kepada raja Babilonia, maka kamu akan selamat.”

25. Tetapi pada bulan ketujuh tahun itu, Ismael anak Netanya, iaitu cucu Elisama, seorang kerabat diraja, pergi ke Mizpa bersama-sama sepuluh orang lain. Mereka menyerang Gedalya dan membunuh dia. Ismael juga membunuh orang Israel dan orang Babilonia yang berada di situ.

26. Kemudian semua orang Yehuda, yang kaya mahupun yang miskin, bersama-sama para pegawai tentera, meninggalkan tempat itu dan lari ke Mesir kerana mereka takut kepada orang Babilonia.

27. Pada tahun Raja Ewil-Merodakh menjadi raja Babilonia, baginda mengasihani Raja Yoyakhin dari Yehuda, lalu membebaskan baginda dari penjara. Perkara ini berlaku pada hari kedua puluh tujuh, bulan kedua belas, tiga puluh tujuh tahun setelah Raja Yoyakhin ditawan.

28. Raja Ewil-Merodakh memperlakukan Raja Yoyakhin dengan baik dan memberi baginda pangkat lebih tinggi daripada yang diberikan kepada raja-raja lain yang juga dibuang ke Babilonia.

29. Raja Yoyakhin tidak lagi memakai pakaian penjara dan baginda makan di meja raja seumur hidup baginda.

2 Raja-Raja 25