2 Raja-Raja 25:11-24 Alkitab Berita Baik (BM)

11. Selepas itu Nebuzaradan membawa penduduk yang masih tinggal di kota itu ke Babilonia, iaitu tukang-tukang mahir yang masih tinggal dan orang yang berpihak kepada orang Babilonia.

12. Tetapi Nebuzaradan meninggalkan sebahagian daripada rakyat yang paling miskin di Yehuda, mereka yang tidak mempunyai harta. Dia menyuruh mereka bekerja di ladang anggur dan di ladang-ladang.

13. Orang Babilonia menghancurkan tiang-tiang gangsa, tangki gangsa, dan semua pedati yang ada di Rumah TUHAN. Mereka membawa semua gangsanya ke Babel.

14. Mereka juga membawa penyodok-penyodok dan bekas-bekas abu yang digunakan untuk membersihkan mazbah, alat-alat pelita, mangkuk-mangkuk untuk menampung darah binatang yang dikorbankan, mangkuk-mangkuk untuk membakar kemenyan, dan semua alat gangsa lain yang digunakan untuk upacara ibadat di Rumah TUHAN.

15. Mereka mengambil semua alat yang dibuat daripada emas dan perak, termasuk mangkuk-mangkuk kecil, dan perbaraan.

16. Barang-barang gangsa yang dibuat oleh Raja Salomo, iaitu dua batang tiang, semua pedati, dan tangki yang besar, terlalu berat untuk ditimbang.

17. Dua batang tiang itu sama bentuknya: setiap batang tingginya 8 meter, dengan kepala tiang setinggi 1.3 meter. Pada sekeliling kepala tiang itu ada anyaman gangsa yang dihiasi buah delima daripada gangsa.

18. Selain itu, Nebuzaradan, iaitu panglima tentera, menangkap Imam Agung Seraya dan penolongnya, iaitu Imam Sefanya, dan juga tiga orang pegawai tinggi Rumah TUHAN.

19. Dari kota itu Nebuzaradan menangkap seorang panglima tentera, lima orang penasihat peribadi raja yang masih di kota itu, pembantu panglima yang mengurus pentadbiran tentera, dan enam puluh orang pembesar lain.

20. Nebuzaradan membawa mereka kepada raja Babilonia, yang ketika itu berada di Ribla

21. di wilayah Hamat. Di sana mereka diseksa dan kemudian dihukum mati.Demikianlah penduduk Yehuda ditawan dari tanah mereka lalu dibuang negeri.

22. Raja Nebukadnezar dari Babilonia melantik Gedalya anak Ahikam, iaitu cucu Safan, menjadi gabenor negeri Yehuda. Dia memerintah atas semua orang yang tidak dibawa ke Babilonia.

23. Apabila para pegawai tentera dan askar Yehuda yang belum menyerah kepada orang Babilonia mendengar hal itu, mereka bergabung dengan Gedalya di Mizpa. Para pegawai itu ialah Ismael anak Netanya, Yohanan anak Kareah, Seraya anak Tanhumet dari kota Netofa, dan Yazanya dari Maakha.

24. Gedalya berkata kepada mereka, “Jangan takut kepada para pegawai Babilonia. Tinggallah di negeri ini dan abdikan diri kepada raja Babilonia, maka kamu akan selamat.”

2 Raja-Raja 25