15. Raja Yosia juga merobohkan tempat pemujaan di Betel, yang dibina oleh Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan Israel berdosa. Raja Yosia merobohkan mazbah di tempat pemujaan itu. Baginda menghancurkan batu-batu mazbah itu, dan menumbuknya menjadi debu. Baginda juga membakar patung Dewi Asyera.
16. Selepas itu Raja Yosia melihat di sekelilingnya dan nampak beberapa kubur di atas bukit. Baginda membongkar kubur-kubur itu, lalu mengeluarkan dan membakar tulang dari kubur-kubur itu, di atas mazbah. Demikianlah Raja Yosia mencemarkan mazbah itu. Dengan demikian terjadilah nubuat seorang nabi pada masa perayaan, ketika Raja Yerobeam berdiri dekat mazbah itu. Raja Yosia melihat lagi di sekelilingnya, lalu nampak sebuah kubur lain.
17. Raja Yosia bertanya, “Kubur siapakah ini?”Penduduk Betel berkata, “Inilah kubur nabi dari Yehuda yang menubuatkan perkara-perkara yang baru sahaja tuanku lakukan terhadap mazbah ini.”
18. Lalu Raja Yosia bertitah, “Biarkanlah kubur itu. Jangan pindahkan tulangnya!”Oleh itu tulang nabi dari Yehuda itu tidak dipindahkan. Tulang nabi dari Samaria pun tidak dipindahkan.
19. Di tiap-tiap kota di Israel, Raja Yosia merobohkan semua tempat pemujaan dewa yang dibina oleh raja-raja Israel, yang telah membangkitkan kemurkaan TUHAN. Baginda memperlakukan mazbah-mazbah itu seperti apa yang dilakukan baginda di Betel.
20. Raja Yosia membunuh semua imam yang bertugas di tempat pemujaan dewa itu di atas mazbah-mazbah mereka sendiri. Baginda juga membakar tulang manusia di atas tiap-tiap mazbah. Selepas itu Raja Yosia kembali ke Yerusalem.
21. Kemudian Raja Yosia memerintah rakyat baginda merayakan Paska untuk menghormati TUHAN, Allah mereka, sebagaimana yang tertulis di dalam kitab perjanjian.
22. Belum pernah Paska seperti ini dirayakan oleh mana-mana raja Israel atau raja Yehuda sejak zaman pahlawan-pahlawan memerintah Israel.
23. Tetapi sekarang, pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yosia, Paska dirayakan di Yerusalem.
24. Untuk menguatkuasakan hukum-hukum yang terkandung di dalam kitab yang ditemui oleh Imam Agung Hilkia di Rumah TUHAN itu, Raja Yosia mengusir semua dukun dan tukang tilik dari Yerusalem. Raja Yosia juga membuang semua dewa rumahtangga, berhala, dan semua benda yang digunakan untuk pemujaan dewa.
25. Belum pernah ada seorang raja yang seperti Raja Yosia, yang mengabdi kepada TUHAN dengan segenap hati, serta menunjukkan pengabdian itu dalam cara hidup dan perbuatan baginda, sesuai dengan seluruh Taurat Musa. Sesudah Raja Yosia, tiada lagi raja yang seperti baginda.
26. Tetapi kemurkaan TUHAN terhadap Yehuda yang dibangkitkan oleh Raja Manasye sedemikian menyala-nyala sehingga saat itu pun TUHAN masih murka.
27. TUHAN berfirman, “Apa yang telah Aku lakukan terhadap Israel akan Aku lakukan juga terhadap Yehuda. Aku akan membuang penduduk Yehuda dari negeri yang Aku berikan kepada mereka. Aku akan menolak Yerusalem, kota pilihan-Ku, dan Rumah TUHAN, yang telah Aku tetapkan sebagai tempat beribadat kepada-Ku.”
28. Segala perbuatan Raja Yosia tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda.
29. Pada masa pemerintahan Raja Yosia, Raja Nekho dari Mesir memimpin tentera baginda ke Sungai Efrat untuk menolong raja Asyur. Raja Yosia cuba menghalang tentera Mesir di Megido, tetapi Raja Yosia terbunuh dalam pertempuran.
30. Para pegawai Raja Yosia meletakkan jenazah baginda di atas sebuah kereta kuda dan membawanya pulang ke Yerusalem. Baginda dimakamkan di permakaman diraja.Kemudian penduduk Yehuda memilih Yoahas, putera Raja Yosia, dan melantiknya menjadi raja.
31. Raja Yoahas berusia dua puluh tiga tahun ketika baginda menjadi raja di Yehuda. Raja Yoahas memerintah di Yerusalem selama tiga bulan. Bonda baginda bernama Hamutal anak Yeremia dari kota Libna.
32. Raja Yoahas berdosa terhadap TUHAN seperti yang dilakukan oleh nenek moyang baginda.
33. Pemerintahan baginda berakhir ketika Raja Nekho dari Mesir menawan baginda di Ribla, di negeri Hamat. Raja Nekho memaksa penduduk Yehuda membayar 3,400 kilogram perak dan 34 kilogram emas sebagai ufti.
34. Raja Nekho melantik Elyakim, putera Raja Yosia, untuk menggantikan Raja Yosia sebagai raja, dan menukar nama Elyakim menjadi Yoyakim. Raja Yoahas dibawa oleh Raja Nekho ke Mesir, kemudian Raja Yoahas mangkat di sana.
35. Untuk membayar ufti yang dituntut oleh raja Mesir, Raja Yoyakim memungut cukai daripada rakyat menurut kemampuan masing-masing.