2 Raja-Raja 22:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Raja Yosia berusia lapan tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda. Baginda memerintah di Yerusalem selama tiga puluh satu tahun. Bonda baginda bernama Yedida anak Adaya dari kota Bozkat.

2. Raja Yosia melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN. Baginda mengikut teladan nenek moyang baginda, Raja Daud, yang taat setia kepada semua hukum Allah.

3. Pada tahun kelapan belas pemerintahan baginda, Raja Yosia menyuruh setiausaha istana, Safan anak Azalya, iaitu cucu Mesulam, pergi ke Rumah TUHAN. Raja Yosia bertitah,

4. “Pergilah kepada Imam Agung Hilkia, dan mintalah laporan daripadanya tentang jumlah wang daripada rakyat yang diterima oleh para imam yang bertugas di pintu Rumah TUHAN.

5. Suruhlah dia memberikan wang itu kepada orang yang mengawasi pekerjaan perbaikan di Rumah TUHAN. Para pengawas itu harus membayar upah

6. para tukang kayu, jurubina, dan tukang batu, serta membeli kayu dan batu yang diperlukan.

7. Para pengawas pekerjaan itu sangat jujur. Oleh itu mereka tidak usah memberikan laporan kewangan.”

8. Safan menyampaikan titah raja kepada Hilkia, dan Hilkia memberitahu Safan bahawa dia telah menemukan kitab Taurat di dalam Rumah TUHAN. Hilkia memberikan kitab itu kepada Safan, lalu Safan membacanya.

9. Kemudian Safan kembali dan memberikan laporan kepada raja, katanya, “Hamba-hamba tuanku telah mengambil wang yang ada di dalam Rumah TUHAN dan memberikannya kepada orang yang mengawasi pekerjaan perbaikan di situ.”

10. Katanya lagi, “Lihatlah kitab ini yang diberikan oleh Hilkia kepada hamba.” Lalu Safan membaca kitab itu di hadapan raja.

11. Apabila raja mendengar kandungan kitab itu, baginda mengoyakkan pakaian baginda kerana dukacita.

12. Baginda bertitah kepada Imam Hilkia, kepada Ahikam anak Safan, Akhbor anak Mikha, Safan, iaitu setiausaha istana, dan kepada Asaya, iaitu ajutan raja,

2 Raja-Raja 22