2 Raja-Raja 21:8-26 Alkitab Berita Baik (BM)

8. Jika umat-Ku Israel taat kepada perintah-Ku serta menurut seluruh Taurat yang diberikan oleh Musa, hamba-Ku kepada mereka, maka Aku tidak akan membiarkan mereka diusir dari negeri yang telah Aku berikan kepada nenek moyang mereka.”

9. Tetapi orang Yehuda tidak taat kepada TUHAN. Raja Manasye menyebabkan mereka melakukan dosa yang lebih besar daripada dosa bangsa-bangsa yang diusir oleh TUHAN ketika umat-Nya memasuki negeri itu.

10. Dengan perantaraan para nabi, hamba-hamba-Nya, TUHAN berfirman,

11. “Raja Manasye telah melakukan perkara-perkara yang menjijikkan, yang lebih keji daripada perbuatan orang Kanaan. Dengan berhala-berhalanya, dia telah menyebabkan penduduk Yehuda berdosa.

12. Oleh itu, Aku, TUHAN, Allah Israel, akan mendatangkan bencana yang dahsyat kepada Yerusalem dan Yehuda, sehingga tiap-tiap orang yang mendengarnya akan terpegun.

13. Aku akan menghukum Yerusalem sebagaimana Aku menghukum Samaria dan Raja Ahab, penguasa Israel, serta keturunannya. Aku akan menghapuskan penduduk Yerusalem sebagaimana orang membersihkan pinggan dan menterbalikkannya.

14. Aku akan meninggalkan mereka yang masih hidup dan menyerahkan mereka kepada musuh. Musuh akan mengalahkan mereka dan menjarah negeri mereka.

15. Aku akan melakukan hal itu kepada umat-Ku kerana mereka telah berdosa terhadap-Ku, dan telah membangkitkan kemurkaan-Ku sejak nenek moyang mereka keluar dari Mesir sehingga sekarang.”

16. Raja Manasye membunuh begitu banyak orang yang tidak bersalah sehingga darah mengalir di jalan-jalan di Yerusalem. Di samping perbuatan itu, Raja Manasye juga menyebabkan penduduk Yehuda menyembah berhala, sehingga mereka berdosa terhadap TUHAN.

17. Segala perbuatan Raja Manasye, termasuk dosa yang dilakukan baginda, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda.

18. Raja Manasye mangkat dan dimakamkan di taman istana, iaitu taman Uza. Amon, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.

19. Raja Amon berusia dua puluh dua tahun ketika baginda menjadi raja di Yehuda. Baginda memerintah di Yerusalem selama dua tahun. Bonda baginda bernama Mesulemet anak Harus dari kota Yotba.

20. Seperti Raja Manasye, ayahandanya, Raja Amon juga berdosa terhadap TUHAN.

21. Raja Amon mengikut perbuatan ayahandanya, dan menyembah dewa-dewa yang disembah ayahandanya.

22. Raja Amon menolak TUHAN, Allah nenek moyang baginda. Baginda tidak taat kepada perintah TUHAN.

23. Para pegawai Raja Amon berkomplot menentang baginda, lalu membunuh baginda di istana.

24. Tetapi kemudian penduduk Yehuda pula membunuh orang yang membunuh Raja Amon, lalu mereka melantik Yosia, putera baginda menjadi raja.

25. Segala perbuatan Raja Amon tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda.

26. Raja Amon dimakamkan di taman Uza, lalu Yosia, putera baginda menggantikan baginda sebagai raja.

2 Raja-Raja 21