16. dan berkata, “Kami sebanyak lima puluh orang di sini, dan kami semua kuat. Biarlah kami pergi mencari Elia, tuanmu. Mungkin Roh TUHAN telah membawanya dan meninggalkannya di atas gunung ataupun di lembah.”Elisa berkata, “Jangan, tak usah pergi!”
17. Tetapi mereka mendesak sehingga Elisa membenarkan mereka pergi. Selama tiga hari, lima puluh orang itu mencari Elia di mana-mana, tetapi mereka tidak menemuinya.
18. Kemudian mereka kembali kepada Elisa yang sedang menunggu di Yerikho. Elisa berkata kepada mereka, “Bukankah saya melarang kamu pergi?”
19. Beberapa orang dari Yerikho berkata kepada Elisa, “Sebagaimana tuan tahu, kota ini baik, tetapi airnya tidak baik dan menyebabkan banyak perempuan hamil keguguran.”
20. Elisa berkata, “Bubuhlah garam di dalam sebuah mangkuk baru dan bawalah mangkuk itu kepada saya.” Mereka pun membawanya kepada Elisa.
21. Elisa pergi ke tempat mata air, lalu melemparkan garam itu ke dalam air, dan berkata, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Aku membersihkan air ini supaya tidak lagi menyebabkan kematian ataupun keguguran.’ ”
22. Sejak itu airnya baik seperti yang dikatakan Elisa.
23. Elisa meninggalkan Yerikho lalu pergi ke Betel. Di tengah jalan, beberapa orang budak lelaki yang datang dari bandar mengolok-olok dia. Mereka berkata, “Hai botak, pergi dari sini!”
24. Elisa menoleh, memandang budak-budak itu, lalu mengutuk mereka atas nama TUHAN. Selepas itu dua ekor beruang betina keluar dari hutan dan mencabik-cabikkan tubuh empat puluh dua orang daripada budak-budak itu.
25. Elisa meneruskan perjalanannya ke Gunung Karmel, kemudian dia pulang ke Samaria.