2 Raja-Raja 19:12-25 Alkitab Berita Baik (BM)

12. Nenek moyang beta memusnahkan kota Gozan, Haran, dan Rezef, serta membunuh orang Eden yang tinggal di Telasar. Tidak satu pun daripada dewa mereka dapat menyelamatkan mereka.

13. Di manakah raja-raja kota Hamat, Arpad, Sefarwaim, Hena, dan Iwa sekarang?”

14. Raja Hizkia mengambil surat itu daripada para utusan, lalu membacanya. Kemudian baginda pergi ke Rumah TUHAN dan membentangkan surat itu di hadirat TUHAN,

15. lalu berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, Engkau yang bersemayam di atas kerub; Engkau satu-satunya Allah yang memerintah semua kerajaan di dunia. Engkau mencipta langit dan bumi.

16. Sekarang lihatlah hal yang berlaku kepada kami. Dengarlah segala hinaan yang diucapkan oleh Raja Sanherib terhadap-Mu, ya Allah yang hidup.

17. Kami semua tahu, ya TUHAN, bahawa raja Asyur telah memusnahkan banyak bangsa dan menghancurkan negeri mereka,

18. serta membakar dewa-dewa mereka. Tetapi dewa-dewa itu tidak berkuasa kerana semuanya hanya patung daripada kayu dan batu yang dibuat oleh manusia.

19. Oleh itu selamatkanlah kami daripada orang Asyur, ya TUHAN, Allah kami supaya semua bangsa di dunia tahu bahawa Engkau, TUHAN satu-satunya Allah.”

20. Kemudian Yesaya mengirim perkhabaran kepada Raja Hizkia bahawa TUHAN, Allah Israel telah mendengar doanya.

21. Demikianlah firman TUHAN, “Kota Yerusalem mentertawakan serta menghinakan engkau, hai Sanherib.

22. Pada sangkamu, siapakah yang engkau cela dan hina itu? Engkau telah bersikap sombong terhadap Aku, Allah Israel, Allah yang suci.

23. Engkau mengirim para utusanmu untuk membesar-besarkan dirimu di hadapan-Ku, bahawa dengan kereta kudamu engkau telah menaklukkan gunung-gunung tertinggi di Lebanon. Engkau bercakap besar bahawa di sana engkau telah menebang pokok sedar yang tertinggi dan pokok sipres yang terbaik, dan bahawa engkau telah menembusi hutan Lebanon yang paling lebat.

24. Engkau bercakap besar bahawa engkau telah menggali perigi dan meminum air di negeri-negeri asing, dan bahawa tenteramu memijak-mijak Sungai Nil sehingga kering.

25. Belum pernahkah engkau mendengar bahawa Akulah yang merancangkan semua itu sejak dahulu? Sekarang Aku sudah melaksanakannya. Akulah yang memberi engkau kuasa untuk memusnahkan kota-kota berkubu sehingga menjadi puing-puing.

2 Raja-Raja 19