2 Raja-Raja 17:6-24 Alkitab Berita Baik (BM)

6. iaitu pada tahun kesembilan pemerintahan Raja Hosea, raja Asyur mengalahkan Samaria. Baginda membawa orang Israel ke Asyur sebagai orang tawanan. Baginda menempatkan sebilangan daripada orang Israel di kota Halah, sebilangan di tepi Sungai Habor di daerah Gozan, dan sebilangan lagi di kota-kota negeri Madai.

7. Kota Samaria jatuh kerana umat Israel berdosa terhadap TUHAN, Allah mereka, yang telah menyelamatkan mereka daripada raja Mesir dan membawa mereka keluar dari negeri Mesir. Mereka menyembah tuhan-tuhan lain,

8. serta mengikut kebiasaan bangsa yang telah diusir oleh TUHAN ketika umat Israel menduduki negeri itu. Umat Israel mengikut adat istiadat yang ditetapkan oleh raja-raja Israel.

9. Mereka melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh TUHAN, Allah mereka. Mereka membina tempat-tempat penyembahan berhala di semua kota mereka, dari kampung yang terkecil sampai ke kota yang terbesar.

10. Di semua bukit dan di bawah tiap-tiap pokok yang rendang, mereka mendirikan tiang-tiang batu dan patung-patung Dewi Asyera.

11. Mereka membakar kemenyan di atas semua mazbah untuk dewa, mengikut kebiasaan bangsa yang telah diusir oleh TUHAN dari negeri itu. Mereka membangkitkan kemurkaan TUHAN kerana segala perbuatan mereka yang jahat itu,

12. dan tidak taat kepada TUHAN yang melarang mereka menyembah berhala.

13. TUHAN telah mengutus beberapa orang utusan dan nabi-Nya untuk memberikan amaran kepada Israel dan Yehuda. Firman TUHAN, “Berhentilah berbuat jahat dan taatlah kepada perintah-Ku yang terkandung dalam Taurat yang Aku berikan kepada nenek moyang kamu dan juga kamu melalui para nabi, hamba-hamba-Ku.”

14. Tetapi mereka tidak mahu taat; mereka degil seperti nenek moyang mereka yang tidak percaya kepada TUHAN, Allah mereka.

15. Mereka tidak mahu taat kepada perintah-Nya. Mereka tidak mengendahkan perjanjian yang dibuat TUHAN dengan nenek moyang mereka. Mereka tidak menghiraukan amaran-amaran TUHAN. Mereka menyembah berhala-berhala yang tidak berguna, sehingga mereka sendiri menjadi tidak berguna. Mereka mengikut kebiasaan bangsa-bangsa di sekeliling mereka, walaupun TUHAN telah melarang perbuatan itu.

16. Mereka melanggar semua hukum TUHAN, Allah mereka, serta membuat dua patung lembu daripada logam untuk disembah. Mereka juga membuat patung Dewi Asyera, menyembah bintang-bintang, dan Baal.

17. Mereka mempersembahkan anak-anak mereka sebagai korban yang dibakar kepada dewa-dewa. Mereka minta petunjuk daripada dukun dan tukang tilik. Mereka sangat giat melakukan apa yang jahat di sisi TUHAN, lalu membangkitkan kemurkaan-Nya.

18. TUHAN murka terhadap umat Israel sehingga mereka dibuang dari tanah yang diberikan-Nya kepada mereka; hanya kerajaan Yehuda yang tinggal.

19. Namun orang Yehuda pun tidak taat kepada hukum TUHAN, Allah mereka. Mereka mengikut kebiasaan yang telah diikuti orang Israel.

20. TUHAN menolak segenap umat Israel. Dia menghukum dan menyerahkan mereka kepada musuh yang kejam, sehingga akhirnya Dia membuang mereka dari tanah yang diberikan-Nya kepada mereka.

21. Setelah TUHAN memisahkan Israel dari Yehuda, umat Israel melantik Yerobeam anak Nebat menjadi raja mereka. Raja Yerobeam menyebabkan mereka meninggalkan TUHAN dan melakukan dosa-dosa yang besar.

22. Mereka mengikut perbuatan Raja Yerobeam dan tidak berhenti melakukan semua dosa yang dilakukan oleh Raja Yerobeam.

23. Akhirnya TUHAN membuang mereka dari tanah yang diberikan-Nya kepada mereka. Hal itu berlaku sesuai dengan amaran yang diberikan TUHAN kepada hamba-hamba-Nya. Oleh itu orang Israel dibuang ke Asyur, tempat mereka tinggal sehingga sekarang.

24. Raja Asyur membawa orang dari kota Babel, Kuta, Awa, Hamat, dan Sefarwaim ke kota-kota di Samaria untuk menggantikan orang Israel yang telah dibuang negeri. Mereka menduduki kota-kota itu lalu tinggal di situ.

2 Raja-Raja 17