2 Raja-Raja 17:22-41 Alkitab Berita Baik (BM)

22. Mereka mengikut perbuatan Raja Yerobeam dan tidak berhenti melakukan semua dosa yang dilakukan oleh Raja Yerobeam.

23. Akhirnya TUHAN membuang mereka dari tanah yang diberikan-Nya kepada mereka. Hal itu berlaku sesuai dengan amaran yang diberikan TUHAN kepada hamba-hamba-Nya. Oleh itu orang Israel dibuang ke Asyur, tempat mereka tinggal sehingga sekarang.

24. Raja Asyur membawa orang dari kota Babel, Kuta, Awa, Hamat, dan Sefarwaim ke kota-kota di Samaria untuk menggantikan orang Israel yang telah dibuang negeri. Mereka menduduki kota-kota itu lalu tinggal di situ.

25. Apabila mereka mula-mula tiba di negeri itu, mereka tidak menyembah TUHAN. Oleh itu TUHAN mengirim singa untuk membunuh sebilangan daripada mereka.

26. Kemudian raja Asyur diberitahu bahawa orang yang disuruhnya tinggal di kota-kota Samaria itu tidak mengenal hukum dewa negeri itu, lalu dewa itu mengirim singa yang membunuh mereka.

27. Oleh itu Raja Asyur bertitah, “Kirimlah kembali seorang daripada imam yang kita tawan itu. Suruhlah dia pulang dan tinggal di sana untuk mengajar orang di tempat itu tentang hukum dewa negeri itu.”

28. Oleh itu seorang imam Israel yang telah dibuang dari Samaria ke Asyur, kembali dan tinggal di Betel. Dia mengajar orang di tempat itu cara beribadat kepada TUHAN.

29. Tetapi penduduk Samaria masih membuat berhala mereka sendiri, dan mereka menempatkan berhala-berhala itu di kuil-kuil yang telah dibina orang Israel. Tiap-tiap golongan orang membuat berhala masing-masing:

30. orang Babel membuat patung Dewa Sukot-Benot, orang Kuta membuat patung Nergal, orang Hamat membuat patung Asima,

31. orang Awa membuat patung Nibhas dan Tartak, dan orang Sefarwaim mempersembahkan anak-anak mereka sebagai korban yang dibakar kepada Adramelekh dan Anamelekh, dewa-dewa mereka.

32. Mereka juga menyembah TUHAN, dan mereka memilih pelbagai orang daripada golongan mereka sendiri untuk bertugas sebagai imam di tempat-tempat pemujaan berhala, serta mempersembahkan korban bagi berhala itu di sana.

33. Mereka menyembah TUHAN, tetapi mereka juga menyembah dewa-dewa mereka sendiri menurut adat istiadat negeri asal mereka.

34. Sampai sekarang mereka masih mengamalkan adat istiadat mereka yang lama itu. Mereka tidak menyembah TUHAN ataupun taat kepada hukum dan perintah yang diberikan-Nya kepada keturunan Yakub, yang dinamakan-Nya Israel.

35. TUHAN telah membuat perjanjian dengan umat Israel, dan telah memerintah, “Jangan sembah tuhan-tuhan lain; jangan bersujud, atau mengabdi, atau mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan itu.

36. Hendaklah kamu taat kepada-Ku, TUHAN yang telah membawa kamu keluar dari Mesir dengan kuasa dan kekuatan yang besar; hendaklah kamu bersujud dan mempersembahkan korban kepada-Ku.

37. Hendaklah kamu sentiasa taat kepada hukum dan perintah yang telah Aku tuliskan untuk kamu. Jangan sembah tuhan-tuhan lain,

38. dan jangan lupa akan perjanjian yang telah Aku buat dengan kamu itu. Jangan sembah tuhan-tuhan lain,

39. tetapi hendaklah kamu menyembah Aku TUHAN, Allah kamu, maka Aku akan menyelamatkan kamu daripada musuh.”

40. Tetapi penduduk Samaria itu tidak mahu mendengar; mereka masih mengikut adat istiadat mereka yang lama.

41. Mereka menyembah TUHAN, tetapi mereka juga menyembah berhala-berhala mereka; sampai sekarang keturunan mereka masih berbuat demikian.

2 Raja-Raja 17