2 Raja-Raja 17:16-28 Alkitab Berita Baik (BM)

16. Mereka melanggar semua hukum TUHAN, Allah mereka, serta membuat dua patung lembu daripada logam untuk disembah. Mereka juga membuat patung Dewi Asyera, menyembah bintang-bintang, dan Baal.

17. Mereka mempersembahkan anak-anak mereka sebagai korban yang dibakar kepada dewa-dewa. Mereka minta petunjuk daripada dukun dan tukang tilik. Mereka sangat giat melakukan apa yang jahat di sisi TUHAN, lalu membangkitkan kemurkaan-Nya.

18. TUHAN murka terhadap umat Israel sehingga mereka dibuang dari tanah yang diberikan-Nya kepada mereka; hanya kerajaan Yehuda yang tinggal.

19. Namun orang Yehuda pun tidak taat kepada hukum TUHAN, Allah mereka. Mereka mengikut kebiasaan yang telah diikuti orang Israel.

20. TUHAN menolak segenap umat Israel. Dia menghukum dan menyerahkan mereka kepada musuh yang kejam, sehingga akhirnya Dia membuang mereka dari tanah yang diberikan-Nya kepada mereka.

21. Setelah TUHAN memisahkan Israel dari Yehuda, umat Israel melantik Yerobeam anak Nebat menjadi raja mereka. Raja Yerobeam menyebabkan mereka meninggalkan TUHAN dan melakukan dosa-dosa yang besar.

22. Mereka mengikut perbuatan Raja Yerobeam dan tidak berhenti melakukan semua dosa yang dilakukan oleh Raja Yerobeam.

23. Akhirnya TUHAN membuang mereka dari tanah yang diberikan-Nya kepada mereka. Hal itu berlaku sesuai dengan amaran yang diberikan TUHAN kepada hamba-hamba-Nya. Oleh itu orang Israel dibuang ke Asyur, tempat mereka tinggal sehingga sekarang.

24. Raja Asyur membawa orang dari kota Babel, Kuta, Awa, Hamat, dan Sefarwaim ke kota-kota di Samaria untuk menggantikan orang Israel yang telah dibuang negeri. Mereka menduduki kota-kota itu lalu tinggal di situ.

25. Apabila mereka mula-mula tiba di negeri itu, mereka tidak menyembah TUHAN. Oleh itu TUHAN mengirim singa untuk membunuh sebilangan daripada mereka.

26. Kemudian raja Asyur diberitahu bahawa orang yang disuruhnya tinggal di kota-kota Samaria itu tidak mengenal hukum dewa negeri itu, lalu dewa itu mengirim singa yang membunuh mereka.

27. Oleh itu Raja Asyur bertitah, “Kirimlah kembali seorang daripada imam yang kita tawan itu. Suruhlah dia pulang dan tinggal di sana untuk mengajar orang di tempat itu tentang hukum dewa negeri itu.”

28. Oleh itu seorang imam Israel yang telah dibuang dari Samaria ke Asyur, kembali dan tinggal di Betel. Dia mengajar orang di tempat itu cara beribadat kepada TUHAN.

2 Raja-Raja 17