2 Raja-Raja 15:10-25 Alkitab Berita Baik (BM)

10. Pada masa itu Salum anak Yabes berkomplot menentang Raja Zakharia. Salum membunuh Raja Zakharia di Yibleam dan menggantikan baginda sebagai raja.

11. Segala perbuatan Raja Zakharia tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

12. Demikianlah berlakunya janji yang dibuat TUHAN kepada Raja Yehu: “Keturunanmu sampai ke generasi yang keempat akan menjadi raja di Israel.”

13. Pada tahun ketiga puluh sembilan pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Salum anak Yabes menjadi raja di Israel. Raja Salum memerintah di Samaria selama satu bulan.

14. Kemudian Menahem anak Gadi berangkat dari Tirza ke Samaria dan membunuh Raja Salum. Lalu Menahem menggantikan baginda sebagai raja.

15. Segala perbuatan Raja Salum, termasuk kisah komplotnya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

16. Dalam perjalanannya dari Tirza, Raja Menahem memusnahkan sama sekali kota Tapuah serta penduduknya, dan juga kawasan di sekelilingnya kerana kota itu tidak menyerah kepadanya. Raja Menahem membelah perut semua perempuan hamil di kota itu.

17. Pada tahun ketiga puluh sembilan pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Menahem anak Gadi menjadi raja di Israel. Raja Menahem memerintah di Samaria selama sepuluh tahun.

18. Raja Menahem berdosa terhadap TUHAN kerana mengikut perbuatan jahat Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.

19. Ketika Raja Pul, raja Asyur menyerang Israel, Raja Menahem memberi Raja Pul 34,000 kilogram perak supaya baginda menolong mengukuhkan kekuasaan Raja Menahem di Israel.

20. Raja Menahem mendapatkan wang itu dengan memaksa setiap orang kaya di Israel supaya memberikan 50 keping wang perak. Selepas itu Raja Pul pulang ke negerinya sendiri.

21. Segala perbuatan Raja Menahem tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

22. Raja Menahem mangkat lalu dimakamkan. Pekahya, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.

23. Pada tahun kelima puluh pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Raja Pekahya putera Raja Menahem menjadi raja Israel. Baginda memerintah di Samaria selama dua tahun.

24. Raja Pekahya berdosa terhadap TUHAN dan mengikut perbuatan Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.

25. Pada masa itu seorang pegawai tentera Raja Pekahya yang bernama Pekah anak Remalya, berkomplot dengan lima puluh orang dari Gilead. Kemudian mereka membunuh Raja Pekahya di kubu sebelah dalam istana di Samaria, lalu Pekah menggantikan Raja Pekahya sebagai raja.

2 Raja-Raja 15