2 Raja-Raja 15:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Pada tahun kedua puluh tujuh pemerintahan Raja Yerobeam II di Israel, Raja Uzia putera Raja Amazia menjadi raja di Yehuda.

2. Pada masa itu Raja Uzia berusia enam belas tahun. Baginda memerintah di Yerusalem selama lima puluh dua tahun. Bondanya bernama Yekholya dari Yerusalem.

3. Baginda mengikut teladan ayahandanya. Baginda melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN.

4. Tetapi tempat-tempat penyembahan berhala tidak dimusnahkan, dan rakyat masih mempersembahkan korban serta membakar kemenyan di situ.

5. TUHAN menyebabkan Raja Uzia menghidap penyakit kulit yang mengerikan seumur hidupnya. Baginda tinggal seorang diri di rumah yang terasing dan dibebaskan daripada segala tugas. Yotam, puteranya memerintah rakyat sebagai wakil baginda.

6. Segala perbuatan Raja Uzia tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda.

7. Baginda mangkat lalu dimakamkan di permakaman diraja di Kota Daud. Kemudian Yotam, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.

8. Pada tahun ketiga puluh lapan pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Raja Zakharia putera Raja Yerobeam II menjadi raja di Israel. Raja Zakharia memerintah di Samaria selama enam bulan.

9. Raja Zakharia juga berdosa terhadap TUHAN, seperti raja-raja yang memerintah sebelum baginda. Baginda mengikut perbuatan jahat Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.

10. Pada masa itu Salum anak Yabes berkomplot menentang Raja Zakharia. Salum membunuh Raja Zakharia di Yibleam dan menggantikan baginda sebagai raja.

11. Segala perbuatan Raja Zakharia tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

12. Demikianlah berlakunya janji yang dibuat TUHAN kepada Raja Yehu: “Keturunanmu sampai ke generasi yang keempat akan menjadi raja di Israel.”

13. Pada tahun ketiga puluh sembilan pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Salum anak Yabes menjadi raja di Israel. Raja Salum memerintah di Samaria selama satu bulan.

14. Kemudian Menahem anak Gadi berangkat dari Tirza ke Samaria dan membunuh Raja Salum. Lalu Menahem menggantikan baginda sebagai raja.

15. Segala perbuatan Raja Salum, termasuk kisah komplotnya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

16. Dalam perjalanannya dari Tirza, Raja Menahem memusnahkan sama sekali kota Tapuah serta penduduknya, dan juga kawasan di sekelilingnya kerana kota itu tidak menyerah kepadanya. Raja Menahem membelah perut semua perempuan hamil di kota itu.

17. Pada tahun ketiga puluh sembilan pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Menahem anak Gadi menjadi raja di Israel. Raja Menahem memerintah di Samaria selama sepuluh tahun.

2 Raja-Raja 15