2 Raja-Raja 14:3-14 Alkitab Berita Baik (BM)

3. Raja Amazia melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN, tetapi baginda tidak seperti nenek moyangnya, Raja Daud. Sebaliknya baginda mengikut perbuatan ayahandanya, Raja Yoas.

4. Raja Amazia tidak merobohkan tempat-tempat penyembahan berhala dan rakyat tidak berhenti mempersembahkan korban serta membakar kemenyan di situ.

5. Apabila pemerintahan Raja Amazia sudah kukuh, baginda membunuh para pegawai yang membunuh ayahandanya, raja yang memerintah sebelum baginda.

6. Raja Amazia tidak membunuh anak-anak mereka kerana baginda menurut perintah TUHAN dalam Taurat Musa yang berbunyi demikian, “Ibu bapa tidak boleh dihukum mati kerana kesalahan anak mereka. Anak-anak tidak boleh dihukum mati kerana kesalahan ibu bapa mereka. Setiap orang hendaklah dihukum mati kerana kesalahan yang dibuatnya sendiri sahaja.”

7. Raja Amazia membunuh sepuluh ribu orang askar Edom di Lembah Asin, dan merebut kota Sela. Baginda menamakan kota itu Yokteel. Sampai sekarang kota itu masih bernama Yokteel.

8. Kemudian Raja Amazia mengutus beberapa orang utusan kepada Raja Yehoas di Israel untuk mencabar baginda berperang.

9. Tetapi Raja Yehoas menjawab cabaran itu demikian, “Pada suatu masa semak berduri di Gunung Lebanon mengirim berita kepada pokok sedar, ‘Benarkanlah anak perempuanmu berkahwin dengan anak lelakiku.’ Tetapi seekor binatang liar lalu di sana dan menginjak semak berduri itu.

10. Hai Raja Amazia, setelah mengalahkan orang Edom, Raja Amazia menjadi sombong! Berpuas hatilah dengan kemenangan sekarang dan tinggallah di rumah. Mengapa mencari-cari masalah yang akhirnya akan mendatangkan bencana kepada diri Raja Amazia dan rakyat?”

11. Tetapi Raja Amazia tidak mempedulikan nasihat itu. Maka Raja Yehoas dan tenteranya keluar menentang Raja Amazia di Bet-Semes di Yehuda.

12. Tentera Raja Amazia dikalahkan, dan semua askarnya lari ke rumah masing-masing.

13. Raja Yehoas menangkap Raja Amazia, lalu meneruskan serangannya ke Yerusalem. Baginda merobohkan tembok kota sepanjang 200 meter, bermula dari Pintu Gerbang Efraim sampai ke Pintu Gerbang Sudut.

14. Raja Yehoas mengambil semua perak dan emas yang dapat ditemuinya, semua perabot Rumah TUHAN dan semua perbendaharaan istana, lalu baginda kembali ke Samaria. Baginda juga membawa beberapa orang tebusan bersama-samanya.

2 Raja-Raja 14