2 Raja-Raja 14:13-29 Alkitab Berita Baik (BM)

13. Raja Yehoas menangkap Raja Amazia, lalu meneruskan serangannya ke Yerusalem. Baginda merobohkan tembok kota sepanjang 200 meter, bermula dari Pintu Gerbang Efraim sampai ke Pintu Gerbang Sudut.

14. Raja Yehoas mengambil semua perak dan emas yang dapat ditemuinya, semua perabot Rumah TUHAN dan semua perbendaharaan istana, lalu baginda kembali ke Samaria. Baginda juga membawa beberapa orang tebusan bersama-samanya.

15. Segala perbuatan Raja Yehoas, termasuk kepahlawanan baginda dalam peperangan melawan Raja Amazia dari Yehuda tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

16. Raja Yehoas mangkat lalu dimakamkan di permakaman diraja di Samaria. Kemudian Yerobeam II, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.

17. Raja Amazia, raja Yehuda, hidup lima belas tahun lagi selepas kemangkatan Raja Yehoas, raja Israel.

18. Segala perbuatan Raja Amazia tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda.

19. Beberapa orang di Yerusalem berkomplot untuk membunuh Raja Amazia. Oleh itu baginda lari ke kota Lakhis, tetapi musuh-musuhnya mengejar baginda ke sana dan membunuh baginda.

20. Kemudian jenazah Raja Amazia diangkut dengan kuda ke Yerusalem, lalu dimakamkan di permakaman diraja di Kota Daud.

21. Penduduk Yehuda melantik Uzia, putera Raja Amazia, yang berusia enam belas tahun, menjadi raja.

22. Setelah kemangkatan ayahandanya, Raja Uzia merebut kembali kota Elat, lalu membinanya semula.

23. Pada tahun kelima belas pemerintahan Raja Amazia putera Raja Yoas di Yehuda, Raja Yerobeam putera Raja Yehoas menjadi raja di Israel. Raja Yerobeam memerintah di Samaria selama empat puluh satu tahun.

24. Raja Yerobeam berdosa terhadap TUHAN, kerana mengikut perbuatan Raja Yerobeam anak Nebat, raja yang yang terdahulu, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.

25. Raja Yerobeam merebut semula semua wilayah yang dahulu dimiliki Israel, dari Genting Hamat di utara sampai ke Laut Mati di selatan. Demikianlah yang dijanjikan dahulu oleh TUHAN, Allah Israel, melalui hamba-Nya Nabi Yunus anak Amitai dari Gat-Hefer.

26. TUHAN nampak bahawa orang Israel sangat menderita, dan tiada sesiapa pun yang menolong mereka.

27. TUHAN tidak bermaksud untuk membinasakan Israel selama-lamanya. Oleh itu Dia menyelamatkan mereka dengan perantaraan Raja Yerobeam II.

28. Segala perbuatan Raja Yerobeam II, termasuk keperkasaan baginda dalam pertempuran dan bagaimana baginda merebut semula Damsyik dan Hamat daripada Yehuda untuk Israel, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

29. Raja Yerobeam mangkat lalu dimakamkan di permakaman diraja. Maka Zakharia, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.

2 Raja-Raja 14