2 Raja-Raja 12:8-19 Alkitab Berita Baik (BM)

8. Imam-imam itu bersetuju untuk tidak mengumpulkan wang rakyat dan juga bersetuju untuk tidak bertanggungjawab terhadap perbaikan Rumah TUHAN.

9. Kemudian Yoyada mengambil sebuah peti dan membuat lubang pada penutupnya, lalu meletakkannya di sisi mazbah, di sebelah kanan pintu masuk Rumah TUHAN. Imam-imam yang bertugas di pintu itu memasukkan semua wang persembahan yang diterima daripada orang ramai ke dalam peti itu.

10. Setiap kali, apabila wang di dalam peti itu sudah banyak, setiausaha raja dan Imam Agung datang untuk mengira wang yang ada di situ, lalu memasukkannya ke dalam kantung.

11. Setelah mencatat jumlah wang dengan tepat, mereka menyerahkan wang itu kepada para pegawai yang mengawasi perbaikan Rumah TUHAN. Para pegawai itu pula membayar upah tukang kayu, jurubina,

12. tukang batu, dan pemahat batu. Mereka juga membeli kayu dan batu untuk memperbaiki Rumah TUHAN, serta membayar semua perbelanjaan lain.

13. Wang itu tidak digunakan untuk membayar pembuatan cawan perak, mangkuk, trompet, atau alat-alat pelita, atau perkakas lain yang dibuat daripada perak atau emas.

14. Semua wang itu digunakan untuk membayar upah tukang dan untuk membeli bahan-bahan yang diperlukan.

15. Pegawai-pegawai yang mengawasi pekerjaan itu sangat jujur. Oleh itu mereka tidak diminta membuat laporan kewangan.

16. Wang yang diterima bagi korban untuk membayar ganti rugi dan korban untuk mengampunkan dosa tidak dimasukkan ke dalam peti itu. Wang itu diberikan kepada para imam.

17. Pada masa itu Raja Hazael, raja Siria menyerang kota Gat dan mengalahkannya. Setelah itu baginda bercadang menyerang Yerusalem.

18. Raja Yoas, penguasa Yehuda, mengumpulkan semua persembahan yang telah ditahbiskan untuk TUHAN oleh raja-raja yang memerintah sebelumnya, iaitu Raja Yosafat, Raja Yehoram, dan Raja Ahazia. Raja Yoas menambahnya dengan persembahannya sendiri serta semua emas di dalam perbendaharaan Rumah TUHAN dan istana. Kemudian Raja Yoas mengirimkan semuanya kepada Raja Hazael. Oleh itu Raja Hazael membatalkan niatnya untuk menyerang Yerusalem.

19. Segala perbuatan Raja Yoas tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda.

2 Raja-Raja 12