2 Raja-Raja 11:7-20 Alkitab Berita Baik (BM)

7. Dua pasukan yang bercuti pada hari Sabat harus berkawal di Rumah TUHAN untuk melindungi raja.

8. Kamu harus mengawal Yoas dengan pedang yang terhunus dan menyertai dia ke mana sahaja dia pergi. Sesiapa sahaja yang mendekati kamu harus dibunuh.”

9. Ketua-ketua itu taat kepada perintah Yoyada dan membawa pasukan mereka kepadanya, iaitu orang yang bercuti pada hari Sabat dan mereka yang bertugas pada hari Sabat.

10. Yoyada memberi para ketua itu tombak dan perisai milik Raja Daud, yang disimpan di Rumah TUHAN.

11. Yoyada menyuruh para pengawal yang membawa pedang terhunus supaya berkawal di sekeliling bahagian depan Rumah TUHAN untuk melindungi raja.

12. Selepas itu Yoyada membawa Yoas keluar, lalu mengenakan mahkota pada kepala Yoas dan memberi dia sebuah salinan hukum tentang pemerintahan raja. Kemudian Yoas dilantik sebagai raja dan hal itu diumumkan kepada rakyat. Rakyat bertepuk tangan sambil berseru, “Daulat tuanku!”

13. Ratu Atalya mendengar keriuhan para pengawal dan rakyat, maka Ratu Atalya cepat-cepat pergi ke Rumah TUHAN, tempat orang ramai berkumpul.

14. Ratu Atalya nampak raja baru itu berdiri di sisi tiang, dekat pintu Rumah TUHAN, tempat raja ditabalkan. Raja baru itu dikelilingi oleh para pegawai dan peniup trompet. Semua rakyat bersorak dan bersukacita, sambil meniup trompet. Ratu Atalya mengoyakkan pakaiannya kerana dukacita, dan berseru, “Khianat! Khianat!”.

15. Yoyada tidak mengizinkan Ratu Atalya dibunuh di kawasan Rumah TUHAN. Yoyada berkata kepada ketua-ketua pasukannya, “Bawalah ratu itu pergi melalui barisan pengawal. Bunuhlah sesiapa sahaja yang cuba menyelamatkan ratu itu.”

16. Mereka menangkap Ratu Atalya, lalu membawa baginda ke istana, dan membunuh ratu itu di Pintu Gerbang Kuda.

17. Imam Yoyada menyuruh Raja Yoas dan rakyat membuat satu perjanjian dengan TUHAN bahawa mereka akan menjadi umat TUHAN. Yoyada juga mengadakan perjanjian antara raja dengan rakyat.

18. Kemudian rakyat masuk ke dalam kuil Baal dan merobohkan kuil itu. Mereka menghancurkan semua mazbah dan berhala di situ. Mereka membunuh Matan, imam Baal, di hadapan mazbah-mazbah itu.Yoyada menyuruh para pengawal berjaga di Rumah TUHAN,

19. lalu Yoyada sendiri, para pegawainya, pengawal diraja, dan pengawal istana, mengawal raja dari Rumah TUHAN ke istana, sambil diiringi oleh seluruh rakyat. Raja Yoas masuk ke istana melalui Pintu Pengawal lalu bersemayam di atas takhta.

20. Semua orang bersukacita dan kota pun menjadi tenang kerana Atalya sudah dibunuh di istana.

2 Raja-Raja 11