2 Raja-Raja 11:4-9 Alkitab Berita Baik (BM)

4. Tetapi pada tahun ketujuh, Imam Yoyada menyuruh ketua-ketua pasukan pengawal diraja dan pengawal istana untuk berjumpa dengan dia di Rumah TUHAN. Dia menyuruh mereka bersumpah supaya mengikut rancangannya. Dia memperlihatkan Yoas, putera Raja Ahazia kepada mereka

5. dan memberikan perintah demikian, “Apabila kamu bertugas pada hari Sabat, sepertiga daripada kamu harus mengawal istana;

6. sepertiga lagi harus berkawal di Pintu Gerbang Sur dan yang lain berkawal di belakang para pengawal yang lain.

7. Dua pasukan yang bercuti pada hari Sabat harus berkawal di Rumah TUHAN untuk melindungi raja.

8. Kamu harus mengawal Yoas dengan pedang yang terhunus dan menyertai dia ke mana sahaja dia pergi. Sesiapa sahaja yang mendekati kamu harus dibunuh.”

9. Ketua-ketua itu taat kepada perintah Yoyada dan membawa pasukan mereka kepadanya, iaitu orang yang bercuti pada hari Sabat dan mereka yang bertugas pada hari Sabat.

2 Raja-Raja 11