1. Apabila Atalya, bonda Raja Ahazia, mendengar tentang pembunuhan puteranya, bonda raja itu memerintah supaya semua kerabat diraja dibunuh.
2. Hanya Yoas, putera Raja Ahazia yang terlepas daripada pembunuhan itu. Yoas nyaris dibunuh bersama-sama putera raja yang lain, tetapi Yoas diselamatkan oleh ibu saudaranya, Yoseba puteri Raja Yehoram; Yoseba saudara Raja Ahazia, sebapa lain ibu. Yoseba membawa Yoas dan pengasuh Yoas ke sebuah bilik di Rumah TUHAN dan menyembunyikan dia daripada Atalya, supaya Yoas tidak dibunuh.
3. Selama enam tahun Yoseba memelihara Yoas serta menyembunyikan dia di Rumah TUHAN, sementara Atalya memerintah sebagai ratu.
4. Tetapi pada tahun ketujuh, Imam Yoyada menyuruh ketua-ketua pasukan pengawal diraja dan pengawal istana untuk berjumpa dengan dia di Rumah TUHAN. Dia menyuruh mereka bersumpah supaya mengikut rancangannya. Dia memperlihatkan Yoas, putera Raja Ahazia kepada mereka
5. dan memberikan perintah demikian, “Apabila kamu bertugas pada hari Sabat, sepertiga daripada kamu harus mengawal istana;
6. sepertiga lagi harus berkawal di Pintu Gerbang Sur dan yang lain berkawal di belakang para pengawal yang lain.
7. Dua pasukan yang bercuti pada hari Sabat harus berkawal di Rumah TUHAN untuk melindungi raja.
8. Kamu harus mengawal Yoas dengan pedang yang terhunus dan menyertai dia ke mana sahaja dia pergi. Sesiapa sahaja yang mendekati kamu harus dibunuh.”
9. Ketua-ketua itu taat kepada perintah Yoyada dan membawa pasukan mereka kepadanya, iaitu orang yang bercuti pada hari Sabat dan mereka yang bertugas pada hari Sabat.
10. Yoyada memberi para ketua itu tombak dan perisai milik Raja Daud, yang disimpan di Rumah TUHAN.