2 Raja-Raja 10:23-34 Alkitab Berita Baik (BM)

23. Selepas itu Raja Yehu sendiri masuk ke dalam kuil bersama-sama Yonadab anak Rekhab. Baginda bertitah kepada semua orang di situ, “Pastikanlah bahawa hanya orang yang menyembah Baal hadir di sini, dan tidak ada orang yang beribadat kepada TUHAN, yang masuk ke tempat ini.”

24. Kemudian Raja Yehu dan Yonadab masuk dan mempersembahkan korban-korban dan korban yang dibakar kepada Baal. Di luar kuil, Raja Yehu telah menugaskan lapan puluh orang, dan telah memberikan perintah kepada mereka, “Bunuhlah semua orang ini! Sesiapa yang membiarkan mereka lari akan dihukum mati!”

25. Sebaik sahaja Raja Yehu selesai mempersembahkan korban, baginda bertitah kepada para pengawal dan askarnya, “Masuklah dan bunuhlah mereka semua. Jangan biarkan seorang pun lari!” Para pengawal dan pegawai itu masuk dengan pedang terhunus. Mereka membunuh semua orang dan mengheret mayat-mayat itu keluar. Selepas itu mereka masuk ke bahagian dalam kuil

26. dan membawa keluar tiang berhala yang ada di situ, lalu membakarnya.

27. Kemudian mereka merobohkan tiang berhala dan kuil, lalu mereka menjadikan kuil itu tandas sehingga hari ini.

28. Itulah caranya Raja Yehu menghapuskan penyembahan Baal di Israel.

29. Tetapi baginda juga mengikut dosa Raja Yerobeam yang menyebabkan Israel berdosa kerana menyembah lembu emas yang didirikannya di Betel dan di Dan.

30. TUHAN berfirman kepada Raja Yehu, “Engkau telah melaksanakan semua perintah-Ku kepadamu tentang keturunan Ahab. Oleh itu Aku berjanji bahawa keturunanmu, sampai kepada generasi keempat, akan menjadi raja di Israel.”

31. Tetapi Raja Yehu tidak taat kepada Hukum TUHAN, Allah Israel, dengan segenap hatinya. Sebaliknya, baginda mengikut perbuatan Raja Yerobeam, yang telah menyebabkan umat Israel berdosa.

32. Pada masa itu TUHAN mula mengecilkan wilayah Israel. Raja Hazael, dari negeri Siria menakluki seluruh kawasan Israel

33. di sebelah timur Sungai Yordan sampai ke kota Aroer di sebelah selatan, di tepi Sungai Arnon. Wilayah itu meliputi kawasan Gilead dan Basan, tempat tinggal orang suku Gad, Ruben, dan Manasye Timur.

34. Segala perbuatan Raja Yehu, termasuk kepahlawanannya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

2 Raja-Raja 10