2 Raja-Raja 10:15-32 Alkitab Berita Baik (BM)

15. Raja Yehu meneruskan lagi perjalanannya. Di tengah jalan, baginda ditemui Yonadab anak Rekhab. Sambil memberikan salam kepadanya, baginda bertitah, “Bukankah kita sehati? Mahukah engkau menyokong beta?”“Hamba mahu,” jawab Yonadab. Raja Yehu bertitah, “Jika demikian, mari berjabat tangan.” Mereka berjabat tangan, dan Raja Yehu menolong Yonadab naik ke atas kereta kudanya.

16. Raja Yehu bertitah, “Ikutlah beta dan lihatlah sendiri betapa giatnya beta mengabdi kepada TUHAN.” Maka mereka bersama-sama pergi ke Samaria.

17. Apabila mereka sampai di sana, Raja Yehu membunuh semua kerabat Raja Ahab; tidak seorang pun dibiarkan hidup. Hal itu berlaku sesuai dengan firman TUHAN kepada Elia.

18. Raja Yehu mengumpulkan segenap penduduk Samaria lalu bertitah, “Raja Ahab kurang giat mengabdi kepada Baal, tetapi beta akan mengabdi kepadanya dengan lebih giat.

19. Kumpulkanlah semua nabi Baal, semua orang yang menyembahnya dan semua imamnya. Tiada seorang pun dikecualikan. Beta akan mempersembahkan korban yang besar kepada Baal, dan sesiapa yang tidak hadir akan dihukum mati.” (Inilah muslihat Raja Yehu untuk membunuh semua orang yang menyembah Baal.)

20. Setelah itu Raja Yehu bertitah, “Isytiharkanlah satu hari perayaan untuk menyembah Baal!” Perisytiharan itu dilaksanakan,

21. dan Raja Yehu sendiri mengumumkan berita itu ke seluruh negeri Israel. Semua orang yang menyembah Baal datang pada hari itu; tiada seorang pun yang tidak datang. Mereka semua masuk ke kuil Baal dan memenuhi tempat itu dari hadapan sampai ke belakang.

22. Lalu Raja Yehu memerintah para imam yang mengurus jubah sembahyang supaya mengeluarkan jubah-jubah itu dan memberikannya kepada orang yang datang menyembah Baal.

23. Selepas itu Raja Yehu sendiri masuk ke dalam kuil bersama-sama Yonadab anak Rekhab. Baginda bertitah kepada semua orang di situ, “Pastikanlah bahawa hanya orang yang menyembah Baal hadir di sini, dan tidak ada orang yang beribadat kepada TUHAN, yang masuk ke tempat ini.”

24. Kemudian Raja Yehu dan Yonadab masuk dan mempersembahkan korban-korban dan korban yang dibakar kepada Baal. Di luar kuil, Raja Yehu telah menugaskan lapan puluh orang, dan telah memberikan perintah kepada mereka, “Bunuhlah semua orang ini! Sesiapa yang membiarkan mereka lari akan dihukum mati!”

25. Sebaik sahaja Raja Yehu selesai mempersembahkan korban, baginda bertitah kepada para pengawal dan askarnya, “Masuklah dan bunuhlah mereka semua. Jangan biarkan seorang pun lari!” Para pengawal dan pegawai itu masuk dengan pedang terhunus. Mereka membunuh semua orang dan mengheret mayat-mayat itu keluar. Selepas itu mereka masuk ke bahagian dalam kuil

26. dan membawa keluar tiang berhala yang ada di situ, lalu membakarnya.

27. Kemudian mereka merobohkan tiang berhala dan kuil, lalu mereka menjadikan kuil itu tandas sehingga hari ini.

28. Itulah caranya Raja Yehu menghapuskan penyembahan Baal di Israel.

29. Tetapi baginda juga mengikut dosa Raja Yerobeam yang menyebabkan Israel berdosa kerana menyembah lembu emas yang didirikannya di Betel dan di Dan.

30. TUHAN berfirman kepada Raja Yehu, “Engkau telah melaksanakan semua perintah-Ku kepadamu tentang keturunan Ahab. Oleh itu Aku berjanji bahawa keturunanmu, sampai kepada generasi keempat, akan menjadi raja di Israel.”

31. Tetapi Raja Yehu tidak taat kepada Hukum TUHAN, Allah Israel, dengan segenap hatinya. Sebaliknya, baginda mengikut perbuatan Raja Yerobeam, yang telah menyebabkan umat Israel berdosa.

32. Pada masa itu TUHAN mula mengecilkan wilayah Israel. Raja Hazael, dari negeri Siria menakluki seluruh kawasan Israel

2 Raja-Raja 10