12. Tetapi guru-guru palsu itu seperti binatang buas yang lahir untuk ditangkap dan dibunuh; mereka bertindak menurut naluri sahaja. Dengan kata-kata hinaan mereka menyerang perkara-perkara yang tidak difahami. Mereka akan dibinasakan seperti binatang buas.
13. Mereka akan menderita kesengsaraan, kerana menyebabkan orang lain menderita kesengsaraan. Bagi mereka, kesenangan bererti berfoya-foya pada siang hari untuk memuaskan hawa nafsu. Semasa mereka makan bersama-sama kamu, kelakuan mereka amat memalukan. Mereka berasa seronok kerana dapat menipu kamu.
14. Mereka suka memandang wanita dengan perasaan berahi, dan nafsu mereka untuk berdosa tidak dapat dipuaskan. Orang yang lemah iman diperangkap oleh mereka. Hati mereka dikuasai ketamakan. Mereka dikutuk Allah!
15. Mereka telah meninggalkan jalan yang lurus, lalu sesat. Mereka mengambil jalan yang diikuti oleh Bileam anak Beor dahulu. Bileam ingin sekali mendapat wang daripada perbuatannya yang jahat.
16. Bileam mendapat teguran kerana dosanya itu. Keldainya bercakap dengan suara manusia dan menghentikan Bileam daripada perbuatannya yang bodoh.
17. Guru-guru palsu itu seperti mata air yang kering dan seperti awan yang ditiup oleh ribut. Allah sudah menyediakan suatu tempat yang sangat gelap untuk mereka.
18. Mereka membuat kenyataan yang sombong dan bodoh, serta menggunakan nafsu cabul untuk menjerumuskan orang yang baru sahaja terlepas daripada kalangan orang yang hidup sesat.
19. Guru-guru palsu itu menjanjikan kebebasan kepada mereka, sedangkan guru-guru palsu itu diperhamba oleh kebiasaan yang membinasakan. Hal itu demikian, kerana seseorang yang dikalahkan, menjadi hamba kepada yang mengalahkannya.
20. Orang yang mengenal Tuhan dan Penyelamat kita Yesus Kristus, sudah terlepas daripada kuasa dunia yang mencemarkan manusia. Tetapi jika kemudian mereka ditawan semula dan dikalahkan oleh kuasa-kuasa tersebut, keadaan mereka menjadi lebih buruk daripada sebelum mengenal Kristus.
21. Lebih baik orang seperti itu tidak pernah mengenal cara hidup yang dikehendaki oleh Allah, daripada mereka mengenalnya lalu tidak mahu mentaati perintah yang diberikan oleh Allah.
22. Apa yang berlaku kepada mereka membuktikan bahawa peribahasa ini benar, “Anjing akan makan semula apa yang sudah dimuntahkannya,” dan “Babi yang sudah dimandikan, akan bergulingan semula di lumpur.”