2 Korintus 8:3-21 Alkitab Berita Baik (BM)

3. Aku dapat memberikan kesaksian bahawa mereka memberi menurut kemampuan mereka, bahkan lebih daripadanya. Dengan kehendak mereka sendiri,

4. mereka meminta dan merayu kepada kami supaya dibenarkan membantu umat Allah di Yudea.

5. Pemberian mereka itu melebihi apa yang kami harapkan! Mula-mula mereka menyerahkan diri kepada Tuhan, kemudian kepada kami juga, sesuai dengan kehendak Allah.

6. Oleh itu kami menggesa Titus yang memulakan usaha mengumpulkan wang derma di kalangan kamu, supaya dia meneruskan usaha itu dan menyelesaikannya.

7. Kamu unggul dalam semuanya: dalam kepercayaan kamu kepada Kristus, usaha kamu untuk mengkhabarkan Berita Baik, pengetahuan kamu tentang yang benar, usaha kamu untuk menolong, dan kasih kamu kepada kami. Oleh itu, kami juga ingin kamu unggul dalam usaha kamu yang baik ini.

8. Apa yang aku katakan itu bukanlah suatu perintah. Tetapi dengan menunjukkan betapa giatnya jemaah di Makedonia menolong orang lain, aku berharap kasih kamu yang sejati pun akan nyata.

9. Kamu tahu bahawa kita sangat dikasihi oleh Yesus Kristus Tuhan kita. Meskipun Dia kaya, Dia menjadikan diri-Nya miskin untuk kebaikan kamu, supaya dengan kemiskinan-Nya itu, kamu menjadi kaya.

10. Menurut pendapatku, lebih baik kamu selesaikan apa yang kamu mulakan pada tahun lalu. Kamulah yang pertama kali merancangkan dan memulakan usaha itu.

11. Teruskanlah dan selesaikanlah usaha itu. Semoga kamu sangat berminat menyelesaikannya sebagaimana kamu sangat berminat mencadangkannya dahulu. Berilah derma menurut kemampuan kamu.

12. Jika kamu sangat berminat memberi derma, Allah akan menerima pemberian kamu berdasarkan apa yang kamu miliki, bukan apa yang tidak kamu miliki.

15. Di dalam Alkitab tertulis,“Orang yang mengumpulkan banyak makanan,tidak berkelebihan,dan orang yang mengumpulkan sedikit makanan,tidak berkekurangan.”

16. Kami bersyukur kepada Allah yang sudah menyebabkan Titus sangat ingin menolong kamu, seperti kami juga!

17. Bukan sahaja dia rela memenuhi permintaan kami, tetapi dia juga sangat ingin menolong kamu sehingga dengan kemahuannya sendiri dia membuat keputusan untuk pergi kepada kamu.

18. Bersama dengan dia kami mengutus seorang saudara seiman yang sangat dihormati oleh jemaah di pelbagai tempat kerana pekerjaannya mengkhabarkan Berita Baik.

19. Lagi pula dia sudah dipilih dan dilantik oleh jemaah di wilayah Makedonia untuk menyertai kami dalam perjalanan kami. Dia akan menolong kami mengurus wang derma yang kami kumpulkan untuk memuliakan Tuhan, dan untuk menunjukkan bahawa kami ingin menolong.

20. Kami sangat berhati-hati mengurus wang derma yang besar jumlahnya itu, supaya tidak sesiapa pun dapat mencela kami.

21. Kami bertujuan melakukan apa yang benar bukan sahaja di sisi Tuhan, tetapi juga di hadapan manusia.

2 Korintus 8