1. Saudara-saudaraku, kami hendak kamu tahu bahawa Allah sangat baik kepada jemaah di Makedonia.
2. Mereka sudah diuji dengan kesusahan yang berat, tetapi mereka sentiasa bersukacita. Mereka sangat miskin, tetapi mereka sangat murah hati.
3. Aku dapat memberikan kesaksian bahawa mereka memberi menurut kemampuan mereka, bahkan lebih daripadanya. Dengan kehendak mereka sendiri,
4. mereka meminta dan merayu kepada kami supaya dibenarkan membantu umat Allah di Yudea.
5. Pemberian mereka itu melebihi apa yang kami harapkan! Mula-mula mereka menyerahkan diri kepada Tuhan, kemudian kepada kami juga, sesuai dengan kehendak Allah.
6. Oleh itu kami menggesa Titus yang memulakan usaha mengumpulkan wang derma di kalangan kamu, supaya dia meneruskan usaha itu dan menyelesaikannya.
7. Kamu unggul dalam semuanya: dalam kepercayaan kamu kepada Kristus, usaha kamu untuk mengkhabarkan Berita Baik, pengetahuan kamu tentang yang benar, usaha kamu untuk menolong, dan kasih kamu kepada kami. Oleh itu, kami juga ingin kamu unggul dalam usaha kamu yang baik ini.
8. Apa yang aku katakan itu bukanlah suatu perintah. Tetapi dengan menunjukkan betapa giatnya jemaah di Makedonia menolong orang lain, aku berharap kasih kamu yang sejati pun akan nyata.
9. Kamu tahu bahawa kita sangat dikasihi oleh Yesus Kristus Tuhan kita. Meskipun Dia kaya, Dia menjadikan diri-Nya miskin untuk kebaikan kamu, supaya dengan kemiskinan-Nya itu, kamu menjadi kaya.
10. Menurut pendapatku, lebih baik kamu selesaikan apa yang kamu mulakan pada tahun lalu. Kamulah yang pertama kali merancangkan dan memulakan usaha itu.
11. Teruskanlah dan selesaikanlah usaha itu. Semoga kamu sangat berminat menyelesaikannya sebagaimana kamu sangat berminat mencadangkannya dahulu. Berilah derma menurut kemampuan kamu.
12. Jika kamu sangat berminat memberi derma, Allah akan menerima pemberian kamu berdasarkan apa yang kamu miliki, bukan apa yang tidak kamu miliki.
13-14. Aku tidak berniat meringankan beban orang lain dengan memberatkan beban kamu. Pada masa ini kamu berkecukupan, maka sepatutnya kamu membantu mereka yang berkekurangan. Begitu juga apabila kamu berkekurangan dan mereka berkecukupan, mereka akan membantu kamu. Dengan demikian kedua-dua belah pihak mendapat layanan yang sama.
15. Di dalam Alkitab tertulis,“Orang yang mengumpulkan banyak makanan,tidak berkelebihan,dan orang yang mengumpulkan sedikit makanan,tidak berkekurangan.”