10. Walaupun kami menanggung sengsara, kami sentiasa bersukacita. Kami nampaknya miskin, tetapi kami sudah mengayakan kehidupan rohani banyak orang. Nampaknya kami tidak memiliki apa-apa, tetapi sebenarnya kami memiliki segala-galanya.
11. Sahabat-sahabatku di Korintus, kami sudah berterus-terang kepada kamu. Kami sudah mengutarakan segala isi hati kami.
12. Kami tidak menahan diri daripada mengasihi kamu; kamulah yang menahan diri daripada mengasihi kami.
13. Sekarang aku berkata-kata seperti kepada anak-anakku sendiri. Tunjukkanlah kasih kamu kepada kami. Bukalah hati kamu untuk kami!
14. Janganlah cuba bekerjasama dengan orang yang tidak percaya kepada Kristus, kerana hal itu tidak sesuai. Kebaikan dan kejahatan tidak dapat bekerjasama. Cahaya dan kegelapan tidak dapat bersama-sama.
15. Kristus tidak dapat bersetuju dengan Iblis. Orang Kristian tidak mempunyai hal yang sama dengan orang bukan Kristian.