6. Oleh itu kami sentiasa tabah hati. Kami tahu bahawa selama kami tinggal di dalam tubuh ini, kami jauh dari tempat tinggal yang akan kami diami bersama-sama Tuhan.
7. Hidup kami berdasarkan kepercayaan kepada Kristus, dan bukan berdasarkan apa yang dapat dilihat.
8. Itulah sebabnya kami tabah hati. Kami lebih suka meninggalkan tubuh ini, supaya dapat tinggal bersama-sama Tuhan.
9. Oleh itu kami ingin menyenangkan hati Tuhan, baik selama kami di tubuh ini di sini, ataupun di sana.
10. Hal itu demikian kerana kita semua harus menghadap Kristus, yang akan menghakimi kita semua. Setiap orang akan mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatannya di dunia ini - perbuatan baik ataupun jahat.
11. Kami mengetahui apa ertinya takut akan Tuhan; itulah sebabnya kami berusaha meyakinkan orang lain. Allah mengenal kami dengan sepenuhnya, dan aku juga berharap kamu mengenal kami dengan baik.
12. Kami tidak mahu membanggakan diri di hadapan kamu. Sebaliknya kami hanya mahu memberikan alasan yang baik, supaya kamu boleh bangga dengan kami. Dengan demikian kamu dapat menjawab orang yang mementingkan rupa orang dan bukan sifat mereka.
13. Jika kami nampaknya gila, hal itu untuk kepentingan Allah. Jika kami nampaknya waras, hal itu untuk kepentingan kamu.
14. Kami dikuasai oleh kasih Kristus; kami sedar bahawa satu orang, iaitu Yesus Kristus sudah mati untuk semua orang. Hal ini bererti bahawa semua orang juga sudah mati secara rohani.
15. Kristus mati untuk semua orang, supaya orang yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri, melainkan untuk Dia yang sudah mati dan dibangkitkan untuk kebaikan mereka.
16. Oleh itu, kami tidak lagi menilai seseorang menurut penilaian manusia. Dahulu kami memang pernah menilai Kristus menurut penilaian manusia, tetapi sekarang tidak lagi.
17. Apabila seseorang bersatu dengan Kristus, orang itu menjadi manusia baru. Yang lama sudah lenyap dan yang baru bermula.
18. Semua itu dilakukan oleh Allah. Melalui Kristus, Allah sudah mengubah kita daripada musuh menjadi sahabat-Nya. Dia juga menugaskan kita supaya menjadikan orang lain sahabat-Nya juga.