2. Aku kenal akan seorang Kristian yang empat belas tahun yang lalu diangkat ke syurga yang tertinggi. (Aku tidak tahu sama ada hal ini benar-benar berlaku atau hanya suatu penglihatan - Allah sahaja yang tahu.)
3. Aku berkata sekali lagi, aku tahu bahawa orang itu diangkat ke Firdaus. (Aku tidak tahu sama ada hal ini benar-benar berlaku atau hanya suatu penglihatan - Allah sahaja yang tahu.)
4. Di situ dia mendengar perkara-perkara yang tidak boleh dan tidak dapat diungkapkan.
5. Aku hendak membanggakan orang itu, bukan diriku sendiri. Aku akan membanggakan perkara-perkara yang menunjukkan kelemahanku sahaja.
6. Jika aku hendak berbangga, aku tidak melakukan sesuatu yang bodoh, kerana aku mengatakan yang benar. Aku tidak mahu orang memandang tinggi terhadap aku kerana penglihatan itu, tetapi hanya kerana melihat perbuatanku dan mendengar kata-kataku.
7. Tetapi supaya aku tidak terlalu sombong kerana penglihatan-penglihatan yang luar biasa itu, aku diberikan sejenis penyakit yang sangat menyakitkan. Penyakit itu alat Iblis untuk memukul aku supaya aku tidak terlalu sombong.
8. Tiga kali aku berdoa kepada Tuhan supaya menghilangkan penyakit itu.
9. Tetapi Tuhan menjawab, “Aku mengasihi kamu dan hal itu sudah cukup bagimu, kerana kuasa-Ku nyata sekali pada masa kamu lemah.” Oleh itu aku lebih suka membanggakan kelemahanku, supaya merasakan kuasa Kristus yang melindungi aku.
10. Aku bersukacita ketika mengalami kelemahan, hinaan, kesukaran, penganiayaan, dan kesusahan, kerana Kristus. Aku bersukacita, kerana ketika aku lemah, pada masa itulah aku mendapat kekuatan daripada Kristus.
11. Kamu sudah memaksa aku bersikap seperti orang bodoh. Kamulah yang seharusnya memuji aku. Meskipun aku ini bukan sesiapa tetapi aku tidak lebih rendah daripada “rasul-rasul” kamu yang istimewa itu!
12. Melalui aku, Allah melakukan banyak mukjizat dan hal-hal lain yang luar biasa, sementara aku menjalankan tugasku dengan penuh kesabaran untuk membuktikan bahawa aku seorang rasul.
13. Dalam hal apakah kamu kurang diperhatikan apabila dibandingkan dengan jemaah lain? Hanya dalam hal ini: Aku tidak meminta kamu membiayai aku. Maafkanlah aku kerana kesalahan itu!
14. Inilah kali ketiga aku siap melawat kamu. Aku tidak mahu membebani kamu, kerana kamulah yang aku inginkan, bukan wang kamu. Anak-anak tidak perlu menyara ibu bapa. Sebaliknya, ibu bapa yang harus menyara anak-anak.