2 Korintus 1:3-18 Alkitab Berita Baik (BM)

3. Marilah kita bersyukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus. Dia Bapa yang berbelas kasihan dan Dia Allah yang sentiasa menolong kita.

4. Dia menolong kami semasa kami mengalami kesusahan, supaya dengan pertolongan yang kami terima daripada Allah, kami pun dapat menolong semua orang yang mengalami kesusahan.

5. Penderitaan yang dialami oleh Kristus, kami alami juga. Melalui Kristus juga, kami ditolong oleh Allah.

6. Jika kami menderita, hal itu untuk pertolongan dan penyelamatan kamu. Jika kami ditolong oleh Allah, kamu juga mendapat pertolongan sehingga kamu tabah hati dan sabar dalam menghadapi kesusahan yang seperti kami alami.

7. Oleh itu kami selalu yakin akan kamu. Kami tahu bahawa sebagaimana kamu mengalami penderitaan yang kami alami, kamu juga mendapat pertolongan seperti kami.

8. Saudara-saudaraku, kami mahu kamu mengetahui kesusahan yang kami alami di wilayah Asia. Penderitaan yang kami tanggung itu sedemikian berat sehingga kami kehilangan harapan untuk hidup.

9. Kami berasa seolah-olah sudah dijatuhi hukuman mati. Tetapi sebenarnya perkara itu berlaku, supaya kami tidak bergantung kepada diri sendiri, melainkan kepada Allah yang membangkitkan orang mati.

10. Dia sudah menyelamatkan kami daripada bahaya kematian yang besar itu, dan Dia akan menyelamatkan kami. Kepada Dialah kami berharap, kerana Dia akan menyelamatkan kami lagi.

11. Dengan bantuan doa kamu, kami yakin bahawa Allah akan memberkati kami sebagai jawapan kepada doa-doa kamu untuk kami. Lalu banyak orang akan bersyukur kepada Allah kerana kami.

12. Kami merasa bangga kerana hati nurani kami meyakinkan kami bahawa hidup kami di dunia ini, terutama sekali hubungan kami dengan kamu, dikuasai oleh keikhlasan dan ketulusan yang dikurniakan oleh Allah. Kami melakukannya bukan dengan kebijaksanaan manusia, tetapi dengan kebolehan yang diberikan oleh Allah.

15. Aku begitu yakin akan semua itu, sehingga pada mulanya aku bercadang hendak melawat kamu, supaya kamu boleh menerima berkat dua kali ganda.

16. Aku bercadang hendak melawat kamu dalam perjalananku ke Makedonia dan juga dalam perjalanan kembali supaya kamu dapat membantu aku meneruskan perjalanan ke Yudea.

17. Tetapi aku mengubah rancanganku. Adakah hal itu bererti bahawa pendirianku tidak tetap? Semasa aku mencadangkan sesuatu, adakah aku mementingkan diri sendiri sahaja, kerana sebentar berkata “Ya” dan sebentar “Tidak”?

18. Demi Allah yang dapat dipercayai, janjiku kepada kamu bukanlah “Ya” dan “Tidak.”

2 Korintus 1