6. TUHAN berfirman kepada beta begini, ‘Salomo anakmu akan membina sebuah rumah bagi-Ku. Aku telah memilih dia menjadi anak-Ku, dan Aku menjadi Bapanya.
7. Jika dia sungguh-sungguh tetap mentaati segala hukum dan perintah-Ku seperti yang dilakukannya sekarang, maka Aku akan mengukuhkan kerajaannya selama-lamanya.’ ”
8. Kemudian Raja Daud bertitah lagi, “Oleh itu, hai rakyat beta, di hadapan Allah kita dan di hadapan perhimpunan segenap Israel, umat TUHAN ini, beta minta dengan sungguh-sungguh supaya kamu mentaati segala perintah TUHAN, Allah kita. Dengan demikian kamu dapat tetap memiliki negeri yang baik ini dan mewariskannya kepada keturunan kamu sampai selama-lamanya.”
9. Lalu kepada Salomo, Raja Daud bertitah, “Hai putera beta, hendaklah Allah yang disembah ayahandamu, engkau akui sebagai Allahmu. Engkau harus mengabdikan diri kepada-Nya dengan tulus ikhlas dan rela hati, kerana Dia tahu akan segala fikiran dan keinginan hati kita. Jika engkau mencari Dia, engkau akan mendapatkan Dia, tetapi jika engkau meninggalkan Dia, Dia akan menolak engkau selama-lamanya.
10. Ingatlah baik-baik bahawa TUHAN telah memilih engkau untuk membina rumah yang khas bagi Dia. Oleh itu, sekarang laksanakanlah tugas itu dengan cekal hati.”
11. Kemudian Raja Daud memberikan pelan Rumah TUHAN kepada Salomo, dan juga pelan stor-stor, bilik-bilik lain, serta Bilik Maha Suci, iaitu tempat pengampunan dosa.
12. Raja Daud memberikan semua pelan yang telah difikirkannya kepada Salomo, iaitu pelan halaman-halaman dengan bilik-bilik di sekelilingnya, dan pelan stor-stor perkakas Rumah TUHAN, serta pelan stor-stor penyimpanan pemberian untuk TUHAN.
13. Raja Daud juga menyerahkan rancangan pengelompokan para imam dan orang Lewi, pekerjaan yang harus dilakukan mereka, iaitu bertugas di Rumah TUHAN dan menjaga semua perkakas ibadat.
14. Baginda memberikan petunjuk tentang banyaknya perak dan emas yang harus digunakan untuk membuat perkakas-perkakas,
15. bagi tiap-tiap pelita dan kaki pelita,
16. bagi meja-meja perak, dan bagi tiap-tiap meja emas, tempat roti yang dipersembahkan kepada Allah.
17. Baginda juga memberikan petunjuk tentang banyaknya emas tulen yang harus digunakan untuk membuat garpu, mangkuk dan bejana, dan tentang banyaknya perak serta emas untuk membuat pinggan mangkuk,
18. dan tentang banyaknya emas tulen untuk membuat mazbah tempat membakar kemenyan, dan untuk membuat pedati bagi kerub-kerub yang sayapnya terbentang di atas Tabut Perjanjian TUHAN.
19. Kemudian Raja Daud bertitah, “Semua itu terkandung dalam rancangan yang telah ditulis menurut petunjuk yang diberikan oleh TUHAN sendiri kepada beta untuk dilaksanakan.”