20. Uziel, anak lelaki Kehat yang keempat, mempunyai dua orang anak lelaki, Mikha dan Yisia.
21. Merari mempunyai dua orang anak lelaki, Mahli dan Musi. Mahli juga mempunyai dua orang anak lelaki, Eleazar dan Kish,
22. tetapi Eleazar mati tanpa mempunyai anak lelaki; dia hanya mempunyai anak-anak perempuan. Anak-anak perempuannya itu berkahwin dengan saudara-saudara sepupu mereka, iaitu anak-anak lelaki Kish.
23. Musi, anak lelaki Merari yang kedua, mempunyai tiga orang anak lelaki: Mahli, Eder, dan Yeremot.
24. Itulah nama-nama keturunan Lewi yang tercatat menurut nama ketua puak dan keluarga masing-masing. Mereka berumur dua puluh tahun ke atas dan mendapat tugas di Rumah TUHAN.
25. Raja Daud bertitah, “TUHAN Allah Israel, telah memberikan keamanan kepada umat-Nya, dan Dia sendiri tinggal di Yerusalem untuk selama-lamanya.
26. Oleh itu tidak perlu lagi orang Lewi memikul Khemah TUHAN dan semua perkakas yang digunakan untuk ibadat.”
27. Berdasarkan perintah-perintah terakhir daripada Raja Daud, semua orang Lewi harus didaftarkan untuk bertugas apabila berumur dua puluh tahun.
28. Mereka harus membantu imam-imam keturunan Harun dalam penyelenggaraan upacara ibadat di Rumah TUHAN, memelihara halaman dan bilik di Rumah TUHAN, serta menjaga segala sesuatu yang telah dikhaskan untuk TUHAN supaya tidak menjadi najis.
29. Mereka juga bertanggungjawab terhadap hal-hal yang berikut: roti yang dipersembahkan kepada Allah, tepung terbaik yang digunakan untuk persembahan, kuih nipis yang dibuat tanpa ragi, persembahan yang dibakar, dan tepung yang dicampur dengan minyak zaitun. Mereka juga harus menimbang dan menakar persembahan yang dibawa ke Rumah TUHAN.
30. Selain itu mereka harus menyanyi untuk memuji TUHAN tiap-tiap pagi dan petang,
31. dan tiap-tiap kali apabila korban dibakar untuk TUHAN pada hari Sabat, pada perayaan Bulan Baru, dan pada perayaan-perayaan yang lain. Jumlah orang Lewi yang harus bertugas pada setiap kali, juga ada peraturannya. Orang Lewi harus menjalankan tugas itu selama-lamanya.
32. Mereka ditugaskan juga untuk memelihara Khemah TUHAN dan Rumah TUHAN, serta menolong saudara-saudara mereka, iaitu imam-imam keturunan Harun, dalam penyelenggaraan ibadat di tempat itu.