1 Tawarikh 22:8-19 Alkitab Berita Baik (BM)

8. Tetapi TUHAN berfirman bahawa beta terlalu sering bertempur dan telah membunuh banyak orang. Oleh itu Dia tidak membenarkan beta membina rumah untuk-Nya.

9. Meskipun begitu Dia telah berjanji kepada beta. Firman-Nya, ‘Engkau akan mendapat seorang anak lelaki, dan dia akan memerintah dengan aman kerana Aku akan menolong dia sehingga tiada musuh yang memerangi dia. Dia akan dinamakan Salomo, kerana pada zaman pemerintahannya, Aku akan membuat Israel aman dan tenteram.

10. Anakmu itu akan membina rumah untuk-Ku. Dia akan menjadi anak-Ku dan Aku menjadi Bapanya. Takhta kerajaan Israel akan tetap pada keturunannya sampai selama-lamanya.’ ”

11. Raja Daud bertitah lagi, “Oleh itu, hai putera beta, semoga TUHAN, Allahmu selalu menyertai engkau. Semoga engkau berjaya membina rumah untuk TUHAN seperti yang telah dijanjikan-Nya.

12. Semoga TUHAN, Allahmu memberikan pengertian dan kebijaksanaan kepadamu, supaya engkau dapat memerintah Israel menurut Taurat-Nya.

13. Jika engkau mentaati semua hukum yang diberikan TUHAN kepada Israel dengan perantaraan Musa, engkau akan berjaya. Engkau harus yakin dan berani. Jangan takut menghadapi apa-apa pun.

14. Tentang Rumah TUHAN itu, beta telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengumpulkan lebih daripada 3,400 tan emas dan lebih daripada 34,000 tan perak. Selain itu ada gangsa dan besi yang tidak terbilang banyaknya. Kayu dan batu pun telah beta sediakan, tetapi engkau harus menambahkannya lagi.

15. Engkau mempunyai banyak orang pekerja. Ada orang yang dapat bekerja di kuari, ada tukang kayu, tukang batu, dan banyak sekali tukang yang lain

16. seperti tukang emas, tukang perak, tukang gangsa, dan tukang besi. Mulakanlah pekerjaan itu dengan segera! Semoga TUHAN menyertai engkau.”

17. Raja Daud memerintah semua pemimpin Israel untuk menolong Salomo.

18. Raja Daud bertitah, “TUHAN Allah kamu telah menolong kamu. Dia telah memberi kamu keamanan di seluruh negeri. Dia telah membolehkan beta mengalahkan semua bangsa yang dahulu tinggal di negeri ini. Sekarang mereka takluk kepada kamu dan kepada TUHAN.

19. Oleh itu, hendaklah kamu mengabdikan diri kepada TUHAN Allah kamu dengan segenap hati dan segenap jiwa. Mulalah membina rumah untuk TUHAN supaya Tabut Perjanjian-Nya dan semua perkakas lain yang digunakan khas untuk ibadat dapat disimpan di situ.”

1 Tawarikh 22