1 Tawarikh 21:7-23 Alkitab Berita Baik (BM)

7. Allah murka kerana apa yang telah berlaku, maka Dia menghukum orang Israel.

8. Kemudian Raja Daud berdoa kepada Allah, “Ya Allah, aku sudah melakukan dosa besar! Ampunilah aku, kerana tindakanku itu sangat bodoh.”

9. Kemudian TUHAN berfirman kepada Gad, nabi yang berkhidmat kepada Raja Daud,

10. “Pergilah beritahu Raja Daud bahawa Aku memberi dia tiga pilihan. Apa sahaja yang dipilihnya akan Kulakukan.”

11. Gad menghadap Raja Daud dan menyampaikan firman TUHAN itu, katanya, “Yang mana satu pilihan tuanku?

12. Negeri ini ditimpa bencana kebuluran selama tiga tahun, atau tuanku lari dikejar musuh selama tiga bulan, atau selama tiga hari seluruh negeri ini diserang oleh TUHAN dengan pedang-Nya yang berupa wabak dan malaikat-Nya membawa maut ke serata tempat. Jawapan apakah yang harus hamba sampaikan kepada TUHAN?”

13. Raja Daud bertitah kepada Gad, “Keadaan beta sungguh terdesak! Janganlah manusia menghukum beta. Lebih baik TUHAN sendiri yang menghukum beta, kerana rahmat-Nya besar.”

14. Oleh itu TUHAN mendatangkan wabak kepada orang Israel sehingga 70,000 orang antara mereka mati.

15. Kemudian TUHAN mengutus satu malaikat untuk memusnahkan Yerusalem. Tetapi ketika malaikat itu berada dekat tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna orang Yebusi, TUHAN mengubah keputusan-Nya untuk menghukum Yerusalem. Dia berfirman kepada malaikat itu, “Cukuplah! Berhenti!”

16. Raja Daud nampak malaikat itu berdiri di antara langit dan bumi, sambil memegang pedang yang terhunus, sedia untuk memusnahkan Yerusalem. Maka Raja Daud dan para pemimpin, yang berpakaian kain guni sebagai tanda menyesal, sujud ke tanah.

17. Raja Daud berdoa, “Ya Allah, akulah yang bersalah. Akulah yang menyuruh orang mengadakan pembancian itu. Apakah kesalahan bangsa ini? Ya TUHAN, Allahku, hukumlah aku dan keluargaku, tetapi jauhkanlah malapetaka ini daripada umat-Mu.”

18. Kemudian malaikat TUHAN menyuruh Gad memberitahu Raja Daud supaya pergi ke tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna dan mendirikan mazbah bagi TUHAN di situ.

19. Oleh itu Raja Daud pergi menurut perintah TUHAN yang disampaikan oleh Gad kepadanya.

20. Di tempat mengirik gandum, Arauna dan empat orang anak lelakinya sedang mengirik gandum. Apabila mereka nampak malaikat itu, keempat-empat orang anak Arauna lari menyembunyikan diri.

21. Ketika Arauna nampak Raja Daud datang, dia menyambut baginda dan sujud di hadapan baginda.

22. Raja Daud bertitah kepadanya, “Beta mahu mendirikan mazbah untuk TUHAN di tempat ini. Oleh itu juallah tanah ini kepada beta. Katakanlah berapa harganya, dan beta akan membayarnya.”

23. “Tuanku, ambillah,” jawab Arauna, “lakukanlah segala kehendak tuanku. Ambillah lembu-lembu ini sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan gunakanlah papan pengirik sebagai kayu api. Ambillah gandum untuk dipersembahkan sebagai korban bijirin. Hamba memberikan semuanya kepada tuanku. Tuanku tidak usah membayar harganya.”

1 Tawarikh 21