1 Tawarikh 17:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Pada suatu hari, apabila Raja Daud sudah menetap di istana baginda, Raja Daud memanggil Nabi Natan dan bertitah, “Lihat, beta tinggal di istana yang dibuat daripada kayu sedar, sedangkan Tabut Perjanjian TUHAN hanya di dalam khemah!”

2. Natan menjawab, “Lakukanlah apa saja kehendak tuanku kerana Allah menyertai tuanku.”

3. Tetapi pada malam itu Allah berfirman kepada Natan,

4. “Pergi sampaikan firman-Ku ini kepada hamba-Ku Daud, ‘Bukan engkau yang akan membina rumah bagi-Ku.

5. Sejak Aku membebaskan umat Israel dari Mesir sampai sekarang, belum pernah Aku tinggal di dalam sebuah rumah. Aku selalu tinggal di dalam khemah dan berpindah dari satu tempat ke tempat lain.

6. Selama perjalanan-Ku dengan umat Israel, belum pernah Aku bertanya kepada sesiapa pun pemimpin yang telah Aku lantik, apa sebabnya mereka tidak membina rumah daripada kayu sedar untuk Aku.’

7. Oleh itu beritahulah hamba-Ku Daud bahawa Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepadanya, ‘Aku telah mengambil engkau daripada pekerjaanmu sebagai gembala domba di padang, dan menjadikan engkau raja umat-Ku Israel.

8. Aku telah menyertai engkau ke mana sahaja engkau pergi, dan Aku telah mengalahkan semua musuhmu ketika engkau berperang. Aku akan menjadikan engkau termasyhur seperti pemimpin-pemimpin terbesar di dunia.

11. Apabila tiba kematianmu, dan engkau dikebumikan di kubur nenek moyangmu, Aku akan melantik salah seorang anak lelakimu menjadi raja, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya.

12. Dialah yang akan membina rumah bagi-Ku, dan Aku akan memastikan supaya untuk selama-lamanya seorang daripada keturunannya akan memerintah sebagai raja.

1 Tawarikh 17