1 Tawarikh 15:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Raja Daud membina beberapa buah rumah di Kota Daud untuk dirinya. Baginda juga menyediakan tempat bagi Tabut Perjanjian Allah dan memasang khemah bagi Tabut itu.

2. Kemudian Raja Daud bertitah, “Hanya orang Lewi yang boleh memikul Tabut Perjanjian Allah, kerana mereka yang dipilih oleh TUHAN untuk memikul Tabut Perjanjian TUHAN dan untuk mengabdikan diri kepada-Nya selama-lamanya.”

3. Oleh itu Raja Daud memanggil semua orang Israel datang ke Yerusalem untuk memindahkan Tabut Perjanjian TUHAN ke tempat yang telah disediakannya.

4. Selepas itu Raja Daud menyuruh keturunan Harun dan orang Lewi berkumpul.

5. Uriel, daripada puak Kehat dalam suku Lewi, mengetuai 120 orang daripada puaknya.

6. Asaya, daripada puak Merari, mengetuai 220 orang daripada puaknya.

7. Yoel, daripada puak Gerson, mengetuai 130 orang daripada puaknya.

8. Semaya, daripada puak Elsafan, mengetuai 200 orang daripada puaknya.

9. Eliel, daripada puak Hebron, mengetuai 80 orang daripada puaknya.

10. Aminadab, daripada puak Uziel, mengetuai 112 orang daripada puaknya.

11. Kemudian Raja Daud memanggil Imam Zadok dan Imam Abyatar, serta enam orang Lewi: Uriel, Asaya, Yoel, Semaya, Eliel, dan Aminadab.

1 Tawarikh 15