1 Tawarikh 11:13-25 Alkitab Berita Baik (BM)

13. Dia memihak Raja Daud ketika berperang melawan orang Filistin dalam pertempuran di Pas-Damim. Eleazar berada di ladang barli ketika tentera Israel mula melarikan diri,

14. tetapi dia dan anak buahnya bertahan di tengah-tengah ladang itu dan melawan orang Filistin. Kemudian TUHAN memberi Israel kemenangan yang cemerlang pada hari itu.

15-16. Pada suatu hari, tiga orang antara tiga puluh orang askar yang terkemuka pergi menemui Raja Daud di suatu tempat yang berkubu di sebuah gunung batu, dekat Gua Adulam. Pada masa itu orang Filistin berkhemah di Lembah Refaim, dan sepasukan daripada mereka menduduki Betlehem.

17. Raja Daud merindukan kampung halamannya lalu bertitah, “Alangkah baiknya jika beta diberikan air minum dari perigi dekat pintu gerbang di Betlehem!”

18. Mendengar hal itu tiga orang pahlawannya menembusi perkhemahan orang Filistin, mengambil air dari perigi itu, lalu membawanya kepada Raja Daud. Tetapi Raja Daud tidak mahu meminum air itu, malahan mencurahkannya sebagai persembahan kepada TUHAN.

19. Raja Daud bertitah, “Tidak mungkin beta minum air ini! Jika beta meminumnya, seolah-olah beta minum darah orang yang telah mempertaruhkan nyawa mereka!” Daud sama sekali tidak mahu meminum air itu. Demikianlah keberanian tiga orang askar yang terkenal itu.

20. Abisai, adik Yoab ialah ketua “Kumpulan Tiga Puluh”. Dia melawan tiga ratus orang dan membunuh mereka dengan tombaknya. Oleh itu dia menjadi termasyhur di kalangan “Kumpulan Tiga Puluh”.

21. Dialah yang termasyhur di kalangan “Kumpulan Tiga Puluh” dan menjadi pemimpin mereka, tetapi dia tidak termasyhur seperti “Kumpulan Tiga”.

22. Benaya anak Yoyada dari Kabzeel ialah seorang askar yang gagah perkasa. Dia sangat berani dan pernah membunuh dua orang pahlawan terkemuka dari Moab. Pada suatu hari, ketika salji turun, dia masuk ke sebuah lubang dan membunuh seekor singa.

23. Dia juga membunuh seorang Mesir yang berbadan besar; orang itu tingginya lebih dua meter, dan dia bersenjatakan tombak yang sangat besar. Benaya menyerang orang Mesir itu dengan belantan, merampas tombak dari tangan orang itu, dan membunuhnya dengan tombak itu.

24. Demikianlah keberanian Benaya, seorang daripada “Kumpulan Tiga Puluh”.

25. Benaya terkemuka di kalangan “Kumpulan Tiga Puluh”, tetapi dia tidak terkenal seperti “Kumpulan Tiga”. Raja Daud melantik dia menjadi ketua pengawal peribadinya.

1 Tawarikh 11