1 Tawarikh 11:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Semua orang Israel pergi kepada Raja Daud di Hebron dan berkata, “Hamba semua kerabat tuanku.

2. Sejak dahulu, bahkan ketika Raja Saul masih pemerintah kami, tuanku telah memimpin tentera Israel ke medan perang. Lagipun TUHAN Allah tuanku telah berjanji bahawa tuanku akan memimpin umat-Nya dan menjadi pemerintah mereka.”

3. Oleh itu semua pemimpin orang Israel datang kepada Raja Daud di Hebron. Maka Raja Daud membuat perjanjian dengan para pemimpin Israel itu. Kemudian mereka menuang minyak zaitun pada kepala Raja Daud untuk melantik baginda menjadi raja Israel. Peristiwa ini berlaku seperti yang telah dijanjikan TUHAN melalui Samuel.

4. Pada suatu masa Raja Daud bersama-sama segenap tentera Israel pergi menyerang kota Yerusalem. Pada masa itu kota itu bernama Yebus dan orang Yebusi, penduduk asal tanah itu, masih tinggal di situ.

5. Orang Yebusi memberitahu Raja Daud bahawa baginda tidak mungkin memasuki kota mereka. Tetapi Raja Daud berjaya merampas kubu mereka yang bernama Sion, dan kini kubu itu disebut “Kota Daud.”

6. Pada waktu itu, Raja Daud bertitah, “Orang yang pertama membunuh seorang Yebusi akan menjadi panglima!” Yoab (ibunya Zeruya), memimpin serangan yang pertama, oleh itu dia menjadi panglima.

7. Raja Daud tinggal di kubu itu, maka itulah sebabnya kubu itu disebut “Kota Daud.”

8. Raja Daud membina semula kota itu, bermula dari tempat yang ditambak dengan tanah di sebelah timur bukit, dan Yoab membaiki bahagian lain kota itu.

9. Raja Daud semakin kuat kerana TUHAN Yang Maha Kuasa menyertai baginda.

10. Inilah nama para askar Raja Daud. Bersama-sama umat Israel yang lain, mereka telah berjuang agar Raja Daud menjadi raja seperti yang dijanjikan TUHAN, dan mereka menyokong kerajaan baginda.

11. Pahlawan yang pertama ialah Yasobam daripada puak Hakhmoni; dia pemimpin “Kumpulan Tiga.” Dalam satu pertempuran, dia pernah melawan tiga ratus orang, dan membunuh mereka semua dengan tombaknya.

12. Pahlawan kedua dalam “Kumpulan Tiga” itu ialah Eleazar anak Dodo daripada puak Ahohi.

1 Tawarikh 11