2. Kish mempunyai seorang anak lelaki bernama Saul, seorang pemuda yang kacak dan tegap. Saul lebih kacak daripada semua orang di Israel dan juga lebih tinggi; pada umumnya orang Israel lain hanya sampai bahu Saul.
3. Pada suatu hari, beberapa ekor keldai kepunyaan Kish hilang. Oleh itu dia berkata kepada Saul, “Bawalah salah seorang hamba bersama-samamu dan pergilah cari keldai itu.”
4. Kemudian Saul dan hambanya menjelajahi kawasan perbukitan Efraim dan kawasan Salisa, tetapi mereka tidak menjumpai keldai-keldai itu. Kemudian mereka meneruskan perjalanan ke daerah Sahalim, tetapi keldai-keldai itu tidak ada di sana. Mereka mencari pula di wilayah Benyamin, tetapi keldai-keldai itu masih tidak dijumpai.
5. Apabila mereka sampai di daerah Zuf, Saul berkata kepada hambanya, “Marilah kita pulang, jangan-jangan ayah lebih cemas memikirkan kita daripada keldai-keldai itu.”
6. Hambanya menjawab, “Tunggu dulu! Di kota ini ada seorang hamba Allah. Dia sangat dihormati orang kerana apa sahaja yang dikatakannya selalu benar-benar terjadi. Marilah kita pergi berjumpa dengan dia. Barangkali dia dapat memberitahu kita di mana keldai-keldai itu.”
7. Saul berkata, “Jika kita pergi berjumpa dengan dia, apakah yang dapat kita berikan kepadanya? Bekal yang kita bawa sudah habis, dan kita tidak punya apa-apa untuk diberikan kepada hamba Allah itu, bukan?”
8. Hamba itu menjawab, “Saya mempunyai sekeping wang perak. Saya boleh memberikan wang ini kepada hamba Allah itu, supaya dia dapat memberitahu kita di mana keldai-keldai itu.”
14. Oleh itu Saul dan hambanya pergi ke kota. Ketika mereka masuk pintu gerbang, mereka berpapasan dengan Samuel yang sedang berjalan menuju ke tempat ibadat di bukit.
15. Sehari sebelum itu, TUHAN telah berfirman kepada Samuel,
16. “Esok pagi kira-kira waktu begini, Aku akan mengutus seorang lelaki daripada suku Benyamin berjumpa dengan engkau. Lumurilah kepalanya dengan minyak sebagai tanda untuk melantiknya menjadi raja umat-Ku Israel. Dia akan membebaskan umat-Ku daripada orang Filistin. Aku sudah melihat penderitaan umat-Ku, dan Aku sudah mendengar tangisan mereka minta tolong.”
17. Apabila Samuel nampak Saul, TUHAN berfirman kepadanya, “Inilah orang yang Kukatakan itu. Dia akan memerintah umat-Ku.”
18. Sementara itu Saul menghampiri Samuel dekat pintu gerbang, lalu bertanya, “Maaf, tuan, di manakah rumah pelihat itu?”
19. Samuel menjawab, “Sayalah dia. Pergilah mendahului saya ke tempat ibadat di bukit, kerana pada hari ini kamu akan makan bersama-sama saya. Esok pagi, saya akan menjawab segala pertanyaan kamu. Setelah itu bolehlah kamu pulang.
20. Jangan khuatir tentang keldai yang hilang tiga hari dahulu. Keldai-keldai itu sudah dijumpai. Lagipun, yang paling diingini oleh umat Israel ialah kamu; kamu dan keluarga bapamu.”