1 Samuel 9:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Ada seorang lelaki yang kaya dan berpengaruh daripada suku Benyamin. Orang itu bernama Kish anak Abiel, cucu Zeror, daripada keluarga Bekhorat, iaitu sebahagian daripada puak Afiah.

2. Kish mempunyai seorang anak lelaki bernama Saul, seorang pemuda yang kacak dan tegap. Saul lebih kacak daripada semua orang di Israel dan juga lebih tinggi; pada umumnya orang Israel lain hanya sampai bahu Saul.

3. Pada suatu hari, beberapa ekor keldai kepunyaan Kish hilang. Oleh itu dia berkata kepada Saul, “Bawalah salah seorang hamba bersama-samamu dan pergilah cari keldai itu.”

4. Kemudian Saul dan hambanya menjelajahi kawasan perbukitan Efraim dan kawasan Salisa, tetapi mereka tidak menjumpai keldai-keldai itu. Kemudian mereka meneruskan perjalanan ke daerah Sahalim, tetapi keldai-keldai itu tidak ada di sana. Mereka mencari pula di wilayah Benyamin, tetapi keldai-keldai itu masih tidak dijumpai.

5. Apabila mereka sampai di daerah Zuf, Saul berkata kepada hambanya, “Marilah kita pulang, jangan-jangan ayah lebih cemas memikirkan kita daripada keldai-keldai itu.”

6. Hambanya menjawab, “Tunggu dulu! Di kota ini ada seorang hamba Allah. Dia sangat dihormati orang kerana apa sahaja yang dikatakannya selalu benar-benar terjadi. Marilah kita pergi berjumpa dengan dia. Barangkali dia dapat memberitahu kita di mana keldai-keldai itu.”

7. Saul berkata, “Jika kita pergi berjumpa dengan dia, apakah yang dapat kita berikan kepadanya? Bekal yang kita bawa sudah habis, dan kita tidak punya apa-apa untuk diberikan kepada hamba Allah itu, bukan?”

8. Hamba itu menjawab, “Saya mempunyai sekeping wang perak. Saya boleh memberikan wang ini kepada hamba Allah itu, supaya dia dapat memberitahu kita di mana keldai-keldai itu.”

12-13. “Ada,” jawab gadis-gadis itu. “Dia baru saja berjalan mendahului kamu. Jika kamu cepat, mungkin kamu boleh menyusul dia. Sebaik saja kamu sampai di kota, kamu akan menjumpai dia. Dia baru datang ke kota kerana pada hari ini, rakyat akan mempersembahkan korban di atas mazbah di bukit. Para jemputan tidak akan makan sebelum dia datang, kerana dia mesti memberkati korban itu dahulu. Jika kamu pergi sekarang, kamu akan sempat menjumpainya sebelum dia mendaki bukit untuk makan.”

1 Samuel 9