14. Raja Saul bertanya lagi, “Bagaimanakah rupanya?”Perempuan itu menjawab, “Rupanya seperti seorang lelaki tua. Dia memakai jubah.”Raja Saul sedar bahawa itulah arwah Samuel, lalu baginda bersujud untuk menghormatinya.
15. Samuel berkata kepada Raja Saul, “Mengapa kamu mengganggu aku dan memanggil aku kembali?”Raja Saul menjawab, “Aku dalam kesusahan besar! Orang Filistin menyerang aku, dan Allah sudah meninggalkan aku. Dia tidak menjawab aku lagi, sama ada dengan perantaraan nabi ataupun mimpi. Itulah sebabnya aku memanggil kamu, supaya kamu memberitahu aku apa yang harus kulakukan.”
16. Samuel berkata, “Apa gunanya kamu memanggil aku jika TUHAN sudah meninggalkan kamu, dan menjadi musuh kamu?
17. TUHAN sudah melakukan apa yang telah difirmankan-Nya kepadamu melalui aku. TUHAN sudah mengambil kerajaan Israel daripadamu, lalu memberikannya kepada Daud.
18. Kamu tidak taat kepada perintah TUHAN. Kamu tidak memunahkan orang Amalek dan segala milik mereka. Itulah sebabnya TUHAN melakukan perkara ini kepadamu sekarang.
19. Dia akan menyerahkan kamu dan orang Israel kepada orang Filistin. Esok kamu dan putera-puteramu akan menyertai aku; bahkan tentera Israel pun akan diserahkan TUHAN kepada orang Filistin.”
20. Ketika itu juga Raja Saul jatuh terlentang di tanah kerana sangat ketakutan mendengar kata-kata Samuel. Lagi pun baginda sangat lemah kerana tidak makan apa-apa sehari semalam.
21. Perempuan itu menghampiri Raja Saul dan mengetahui bahawa baginda sangat cemas. Oleh itu perempuan itu berkata kepada baginda, “Tuanku, hamba sudah mempertaruhkan nyawa untuk memenuhi permintaan tuanku.
22. Sekarang kabulkanlah permohonan hamba. Makanlah sedikit makanan yang akan hamba hidangkan supaya tuanku dapat meneruskan perjalanan.”
23. Raja Saul menolak dan bertitah bahawa baginda tidak mahu santap. Tetapi pegawai-pegawai Raja Saul pun mendesaknya supaya santap. Akhirnya Raja Saul menurut; baginda bangun dari tanah lalu duduk di atas tempat tidur.
24. Dengan segera perempuan itu menyembelih seekor anak lembu yang gemuk. Dia juga mengambil tepung dan menyiapkannya, lalu memasak roti yang tidak beragi.
25. Dia menghidangkan makanan itu kepada Raja Saul dan pegawai-pegawainya, lalu mereka pun makan. Kemudian mereka berangkat pada malam itu juga.