29. Seandainya ada seseorang yang menyerang tuan dan cuba membunuh tuan, maka tentu TUHAN Allah akan melindungi tuan seperti seorang menjaga hartanya yang sangat berharga. Tetapi musuh tuan akan dilemparkan jauh-jauh oleh TUHAN, seperti batu yang dilontarkan dengan ali-ali.
30. TUHAN akan melakukan segala kebaikan yang dijanjikan-Nya kepada tuan, dan tidak lama lagi tuan akan dijadikan-Nya raja Israel.
31. Pada waktu itu tuan akan ingat bahawa tuan tidak membunuh tanpa alasan atau membalas dendam. Oleh itu tuan tidak perlu berasa sedih atau menyesal. Apabila TUHAN memberkati tuan kelak, janganlah lupa akan hamba tuan ini.”
32. Kemudian Daud berkata kepadanya, “Pujilah TUHAN, Allah umat Israel, yang sudah mengutus kamu kepadaku pada hari ini!
33. Aku bersyukur kerana kebijaksanaanmu. Tindakanmu pada hari ini telah mencegah aku melakukan pembunuhan untuk membalas dendam.
34. TUHAN sudah menahan aku berbuat jahat terhadapmu. Demi TUHAN, Allah Israel yang hidup, seandainya kamu tidak segera menemui aku, sudah tentu semua anak buah Nabal telah mati pada waktu matahari terbit!”
35. Daud menerima pemberian Abigail, lalu berkata kepadanya, “Pulanglah dan janganlah khuatir. Aku akan menunaikan permintaanmu.”
36. Ketika Abigail pulang kepada Nabal, ada jamuan besar di rumahnya, seperti jamuan raja. Oleh sebab Nabal mabuk dan bersukaria, Abigail tidak memberitahukan apa-apa pun kepadanya sehingga keesokan hari.
37. Keesokan pagi, apabila Nabal tidak mabuk lagi, Abigail menceritakan segalanya kepada Nabal. Tiba-tiba Nabal diserang penyakit jantung sehingga seluruh badannya menjadi lumpuh.
38. Kira-kira sepuluh hari kemudian, TUHAN mencabut nyawa Nabal.
39. Apabila Daud mendengar bahawa Nabal sudah meninggal, dia berkata, “Pujilah TUHAN! Dia sudah membalas Nabal kerana penghinaannya terhadap aku. TUHAN sudah mencegah aku, hamba-Nya daripada melakukan kejahatan. TUHAN sendiri telah menghukum Nabal kerana kejahatannya.”Kemudian Daud mengirim utusan kepada Abigail untuk melamar dia menjadi isterinya.
40. Para utusan Daud menemui wanita itu di Karmel, lalu berkata kepadanya, “Kami diutus oleh Daud untuk menghadap puan, kerana dia ingin melamar puan menjadi isterinya.”
41. Abigail bangkit, lalu bersujud dan berkata, “Saya hamba Daud. Saya bersedia mencuci kaki hamba-hambanya.”
42. Selepas itu dia segera berkemas, lalu menunggang keldainya. Diiringi oleh lima orang dayangnya, dia berangkat bersama-sama utusan Daud. Dengan demikian Abigail menjadi isteri Daud.