1 Samuel 23:6-18 Alkitab Berita Baik (BM)

6. Pada masa Abyatar anak Ahimelekh lari kepada Daud, dan menyertai Daud ke Kehila, dia juga membawa efod.

7. Raja Saul diberitahu bahawa Daud sudah pergi ke Kehila, lalu Raja Saul berkata dalam hati, “Sekarang Allah telah menyerahkan Daud ke dalam tanganku. Daud sudah terperangkap kerana masuk ke dalam kota yang bertembok dan mempunyai pintu gerbang yang berpalang.”

8. Oleh itu Raja Saul mengerah tenteranya dan berangkat ke Kehila untuk mengepung Daud bersama dengan semua anak buahnya.

9. Apabila Daud mendengar bahawa Raja Saul berniat untuk menyerang dia, dia berkata kepada Imam Abyatar, “Bawalah efod itu ke mari.”

10. Kemudian Daud berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, aku sudah mendengar bahawa Raja Saul bercadang datang ke Kehila dan memusnahkan kota ini kerana aku, hamba-Mu.

11. Adakah penduduk Kehila akan menyerahkan aku kepada Raja Saul? Benarkah Raja Saul akan datang sebagaimana yang aku dengar? Ya TUHAN, Allah Israel, aku mohon, jawablah aku!”TUHAN menjawab, “Ya, Raja Saul akan datang.”

12. Daud bertanya lagi, “Adakah penduduk Kehila akan menyerahkan aku dan anak buahku kepada Raja Saul?”TUHAN menjawab, “Ya.”

13. Oleh itu Daud serta anak buahnya, kira-kira enam ratus orang, segera meninggalkan Kehila dan mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain. Apabila Raja Saul mendengar bahawa Daud sudah pergi dari Kehila, baginda membatalkan rancangannya.

14. Daud bersembunyi di tempat-tempat perlindungan di perbukitan, di padang gurun Zif. Dia selalu dikejar-kejar oleh Raja Saul, tetapi TUHAN tidak menyerahkannya kepada Raja Saul.

15. Daud takut kerana Raja Saul bertekad untuk membunuhnya.Pada suatu masa Daud berada di Hores, di padang gurun Zif.

16. Yonatan pergi menemuinya di situ dan menyakinkan dia bahawa Allah melindungi dia.

17. Yonatan berkata kepadanya, “Jangan takut, engkau tidak akan jatuh ke tangan bapaku. Dia tahu betul bahawa engkaulah yang akan menjadi raja Israel dan bahawa aku akan mendapat kedudukan di bawahmu.”

18. Kemudian Daud dan Yonatan mengikat janji persahabatan di hadapan TUHAN. Setelah itu Yonatan pulang ke rumahnya, sedangkan Daud tetap tinggal di Hores.

1 Samuel 23