1 Samuel 20:22-33 Alkitab Berita Baik (BM)

22. Tetapi jika aku berkata kepada hambaku, ‘Anak panah itu lebih jauh lagi ke sana,’ itu bermakna bahawa TUHAN menyuruh engkau pergi; oleh itu pergilah.

23. Semoga TUHAN memastikan supaya kita selamanya memegang perjanjian antara kita berdua.”

24. Maka Daud pergi bersembunyi di padang. Pada Perayaan Bulan Baru, Raja Saul datang ke jamuan makan.

25. Seperti biasa Raja Saul duduk dekat dinding; Yonatan mengambil tempat di hadapannya, dan Abner duduk di sebelah Raja Saul, tetapi kerusi Daud tetap kosong.

26. Pada hari itu, Raja Saul tidak menyinggung hal itu kerana baginda berfikir, “Mungkin ada sesuatu yang terjadi kepada Daud, sehingga menyebabkan dia najis.”

27. Keesokan harinya, sehari setelah Perayaan Bulan Baru, kerusi Daud masih kosong. Kemudian Raja Saul bertanya kepada Yonatan, “Mengapa Daud tidak hadir pada jamuan, kelmarin dan hari ini?”

28. Yonatan menjawab, “Dia sudah minta izin kepada saya untuk pergi ke Betlehem.

29. ‘Benarkanlah aku pergi,’ katanya, ‘kerana keluargaku sedang merayakan pesta mempersembahkan korban di Betlehem, dan aku disuruh datang oleh abangku. Oleh itu jika kamu izinkan, biarlah aku pergi untuk bertemu dengan sanak saudaraku.’ Itulah sebabnya dia tidak hadir pada jamuan ini, ayah.”

30. Setelah mendengar hal itu Raja Saul sangat murka terhadap Yonatan. Raja Saul bertitah, “Anak haram jadah! Sekarang beta tahu bahawa engkau memihak kepada Daud. Engkau mempermalukan bondamu dan dirimu sendiri.

31. Tidak tahukah engkau bahawa selama Daud hidup, engkau tidak mungkin menjadi raja negeri ini? Sekarang suruhlah orang mencari dia dan membawanya ke mari, kerana dia mesti mati!”

32. Yonatan menjawab, “Mengapakah dia mesti mati? Apakah dosanya?”

33. Ketika itu juga Raja Saul melemparkan tombak ke arah Yonatan untuk membunuh dia. Oleh itu Yonatan sedar bahawa ayahandanya sungguh-sungguh berniat untuk membunuh Daud.

1 Samuel 20