1. Kemudian Daud lari dari Nayot dekat Rama, lalu pergi berjumpa dengan Yonatan. Dia bertanya kepada Yonatan, “Apakah yang sudah aku lakukan? Apakah kesalahanku? Apakah dosaku terhadap bapamu sehingga bapamu hendak membunuh aku?”
2. Yonatan menjawab, “Jangan berkata begitu! Demi Allah, engkau tidak akan dibunuh! Bapaku selalu memberitahu aku segala rancangannya, yang mustahak mahupun yang tidak mustahak. Dia tidak pernah merahsiakan apa pun terhadap aku. Perkara itu tidak benar!”
3. Daud menjawab, “Bapamu tahu engkau sangat mengasihi aku. Oleh itu bapamu tidak memberitahu engkau apa yang dicadangkannya, supaya engkau tidak bersedih. Aku bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa sesungguhnya hidupku diancam maut!”
4. Yonatan berkata, “Aku akan melakukan apa saja permintaanmu.”
5. Daud menjawab, “Begini, esok Perayaan Bulan Baru. Seharusnya aku makan bersama-sama raja. Tetapi jika kamu setuju, aku akan pergi bersembunyi di padang sampai lusa malam.
6. Jika bapamu menanyakan sebabnya aku tidak hadir, katakanlah kepadanya bahawa aku sudah memohon izin daripadamu untuk segera pulang ke Betlehem, kerana di sana diadakan upacara mempersembahkan korban tahunan bagi semua anggota keluargaku.
7. Jika raja berkata, ‘Baiklah,’ maka aku akan aman, tetapi jika raja murka, ketahuilah bahawa raja sudah mengambil keputusan untuk mencelakakan aku.
8. Aku minta pertolonganmu kerana kita sudah mengikat perjanjian di hadapan TUHAN. Namun jika aku bersalah, bunuhlah aku, tetapi jangan serahkan aku kepada bapamu.”
9. Yonatan menjawab, “Jangan khuatir! Jika aku tahu dengan pasti bahawa bapaku sudah bertekad untuk mencelakakan engkau, tentu aku memberitahu engkau.”
10. Kemudian Daud bertanya, “Siapakah yang akan memberitahu aku jika bapamu murka?”
11. Yonatan berkata, “Mari kita pergi ke padang.” Mereka berdua pergi ke padang,
12. lalu Yonatan berkata kepada Daud, “Semoga TUHAN, Allah Israel menjadi saksi kita. Esok atau lusa kira-kira pada waktu ini, aku akan berusaha untuk mengetahui isi hati bapaku. Jika dia bersikap baik terhadapmu, aku akan mengirim khabar kepadamu.
13. Tetapi jika dia berniat untuk mencelakakan engkau, biarlah TUHAN membunuh aku jika aku tidak memberitahukan hal itu kepadamu dan menyelamatkan engkau. Semoga TUHAN menyertai engkau sebagaimana Dia menyertai bapaku dahulu!
14. Jika aku masih hidup, ingatlah akan perjanjian kita di hadapan TUHAN dan setialah kepadaku; tetapi jika aku sudah tiada,