1 Samuel 2:19-30 Alkitab Berita Baik (BM)

19. Tiap-tiap tahun ibu Samuel membuat jubah kecil, lalu memberikan jubah itu kepada Samuel apabila ibu itu datang bersama dengan suaminya untuk mempersembahkan korban tahunan.

20. Kemudian Eli memberkati Elkana dan isterinya, serta berkata kepada Elkana, “Semoga TUHAN mengurniai kamu anak-anak lain daripada isterimu ini, untuk menggantikan anak yang sudah kamu serahkan kepada TUHAN.”Selepas itu mereka pulang ke Rama.

21. Hana diberkati oleh TUHAN, lalu Hana melahirkan tiga orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Samuel pun bertambah besar sementara dia mengabdi kepada TUHAN.

22. Eli sudah sangat tua. Dia selalu mendengar aduan tentang perbuatan anak-anaknya terhadap umat Israel. Eli tahu juga bahawa anak-anaknya itu meniduri perempuan-perempuan yang bertugas di pintu Khemah TUHAN.

23. Oleh itu Eli berkata kepada anak-anaknya, “Aku sudah diberitahu oleh setiap orang tentang kejahatan yang kamu lakukan. Mengapa kamu melakukan hal itu?

24. Jangan berbuat begitu lagi, hai anak-anakku. Sangat buruk perkara yang dikatakan oleh umat TUHAN tentang kamu.

25. Jika seseorang berdosa terhadap manusia, Allah dapat membelanya; tetapi jika seseorang berdosa terhadap TUHAN, siapakah yang dapat membelanya?”Tetapi anak-anak Eli itu tidak mempedulikan nasihat bapa mereka, kerana TUHAN sudah mengambil keputusan untuk membinasakan mereka.

26. Sebaliknya Samuel, anak itu, semakin besar dan semakin disukai oleh TUHAN mahupun oleh semua orang.

27. Pada suatu hari seorang nabi datang kepada Eli dan menyampaikan perkhabaran daripada TUHAN. Nabi itu berkata, “TUHAN berfirman, ‘Ketika nenek moyangmu Harun dan keluarganya menjadi hamba raja Mesir, Aku menampakkan diri kepada Harun.

28. Daripada semua suku Israel, Aku memilih keluarganya menjadi imam-Ku untuk bertugas di mazbah, membakar kemenyan, dan memakai baju efod ketika meminta petunjuk daripada-Ku. Aku memberi mereka hak untuk mengambil sebahagian daripada korban yang dibakar di atas mazbah.

29. Tetapi mengapakah engkau masih tamak melihat persembahan dan korban yang dipersembahkan oleh umat-Ku kepada-Ku? Mereka mempersembahkan semuanya kepada-Ku menurut perintah-Ku kepada mereka. Hai Eli, mengapa engkau lebih menghormati anak-anakmu daripada menghormati Aku, dan membiarkan mereka menggemukkan diri dengan bahagian terbaik daripada setiap korban yang dipersembahkan oleh umat-Ku kepada-Ku?

30. Aku TUHAN, Allah Israel, dahulu telah berjanji bahawa keluarga dan puakmu akan mengabdi kepada-Ku sebagai imam untuk sepanjang masa. Tetapi sekarang Aku tidak menghendaki hal itu lagi! Sebaliknya, mereka yang menghormati Aku akan Kuhormati, dan mereka yang menghina Aku akan dihina.

1 Samuel 2