5. Dia telah mempertaruhkan nyawanya ketika dia membunuh Goliat, dan TUHAN telah memberikan kemenangan yang besar kepada Israel. Ayah sendiri telah menyaksikannya, dan ayah berasa gembira pada waktu itu. Mengapakah sekarang ayah hendak menganiaya seorang yang tidak bersalah, dan mahu membunuh Daud tanpa sebab?”
6. Raja Saul insaf setelah mendengar kata-kata Yonatan itu, lalu baginda bersumpah demi TUHAN bahawa baginda tidak akan membunuh Daud.
7. Selepas itu Yonatan memanggil Daud dan memberitahunya semua percakapan tadi. Kemudian Yonatan membawa Daud kepada Raja Saul, lalu Daud berkhidmat kepada Raja Saul seperti dahulu.
8. Kemudian perang dengan orang Filistin berlaku semula. Daud menyerang dan mengalahkan orang Filistin sama sekali sehingga mereka lari.
9. Pada suatu hari Raja Saul sedang duduk sambil memegang tombak di rumah. Tiba-tiba Raja Saul dirasuk lagi oleh roh jahat yang disuruh oleh TUHAN. Pada masa itu Daud berada di situ dan sedang memainkan kecapinya.
10. Raja Saul cuba menancapkan tombak itu kepada Daud yang berada dekat dinding, tetapi Daud mengelak, sehingga tombak itu tertancap pada dinding. Daud lari untuk menyelamatkan diri.
11. Pada malam itu juga, Raja Saul menyuruh beberapa orang ke rumah Daud untuk mengintip Daud, lalu membunuh dia pada waktu pagi. Tetapi Mikhal, isteri Daud, memberitahu dia, “Jika engkau tidak lari malam ini juga, esok pagi engkau pasti dibunuh.”
12. Mikhal menurunkan Daud dari jendela dan Daud lari dari tempat itu.
13. Kemudian Mikhal mengambil patung berhala rumah tangganya dan meletakkannya di tempat tidur Daud. Dia juga meletakkan bantal yang dibuat daripada bulu kambing di bawah kepala patung itu, lalu menyelubunginya dengan selimut.
14. Apabila anak buah Raja Saul datang untuk menangkap Daud, Mikhal berkata, “Daud sedang sakit.”
15. Tetapi Raja Saul menyuruh mereka pergi lagi ke situ untuk melihat Daud dengan mata mereka sendiri. Baginda memberikan perintah, “Bawalah dia ke mari bersama dengan tempat tidurnya, supaya aku dapat membunuh dia.”
16. Mereka masuk ke dalam bilik dan mendapati patung yang terletak di tempat tidur dengan bantal daripada bulu kambing di bawah kepalanya.